Nepal Sadbhavana Party (NSP), sebuah parti pinggiran bertindak meninggalkan Persidangan Dewan (CA), yang juga berfungsi sebagai Parlimen negara itu, berikutan perbezaan pendapat dengan parti-parti utama.

Anggota parti NSP meletak jawatan secara beramai-ramai pada Ahad, sambil menyatakan bahawa kehadiran mereka dalam CA tidak bermakna memandangkan pendapat mereka tidak didengari, selain perbezaan pendapatan yang serius terhadap proses merangka Perlembagaan.

NSP diwakili lima anggota daripada 601 anggota dalam CA. Tindakan NSP meninggalkan CA, tidak memberi sebarang kesan ketara terhadap Dewan buat masa ini.

Bagaimanapun, keputusannya itu boleh menggalakkan parti pinggiran lain untuk meninggalkan CA. NSP merupakan sebuah parti serantau yang mewakili sebahagian daripada kumpulan etnik Madhesi (penduduk berasal dari India), yang bersempadan dengan India di selatan Nepal.

NSP, pernah menuntut sebuah wilayah Madhes tunggal di seluruh selatan. Bagaimanapun, pihak-pihak lain yang menentangnya berpendapat bahawa cadangan itu mempunyai kelemahan dari aspek strategik dan ekonomi.

Nepal kini sedang merangka Perlembagaan baharu melalui proses demokrasi dalam kalangan anggota CA yang dipilih bagi melengkapkan proses keamanan dan politik yang dimulakan pada 2006 selepas perjanjian damai antara kerajaan dan pemberontak komunis.

Parti-parti rakyat Nepal berikrar untuk melaksanakan Perlembagaan baharu berkenaan membabitkan tujuh wilayah persekutuan pada pertengahan September ini.

- Bernama