Orang ramai tidak patut membenarkan isu Darul Ehsan Investment Group (DEIG) mengalihkan perhatian mereka daripada 1MDB, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Semambu.

Yakin rakyat sedang memerhatikan, Lee Chean Chung mendakwa Umno menggunakan taktik mengelirukan dan mengalih perhatian.

“Saya rasa ini suatu percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada 1MDB, yang dah nyata satu skandal yang besar,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Mengulas itu DEIG, Lee berkata syarikat itu berbeza sama sekali dengan 1MDB, syarikat pelaburan kontroversi negara yang terbeban hutang.

“DEIG belum mula beroperasi lagi, dan dari segi sifatnya amat berbeza.

“1MDB mengambil pinjaman berbilion-bilion dan DEIG (pula) merupakan suatu inisiatif konsolidasi,” katanya.

Azmin nada sama

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pada 22 Ogos mengeluarkan kenyataan hampir serupa bahawa DEIG tidak boleh disamakan dengan 1MDB.

Secara sinis, beliau membezakan antara wang derma dan pelaburan.

DEIG agensi kerajaan negeri yang memiliki dana sebanyak RM30 bilion dan akan digunakan untuk pelaburan.

Berdasarkan nilai pelaburannya, BN sebelum ini menyifatkan isu DEIG lebih besar berbanding derma bernilai RM2.6 bilion ke akaun persendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

DEIG dilapor ditubuhkan pada Disember tahun lalu dan dilancarkan pada Mei tahun ini untuk menguruskan pelaburan anak syarikat MBI.

Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah mencadangkan penubuhan DEIG ditangguhkan sementara menunggu penyerahan kertas putih.

Ketua JP-ABAS, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dipetik oleh New Straits Times sebagai berkata di luar dewan bahawa operasi DEIG perlu dihentikan selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Jawatankuasa itu antaranya mahu tahu kenapa DEIG ditubuhkan sedangkan sudah ada syarikat negeri Menteri Besar Diperbadankan (MBI).