Impak: Bebaskan tahanan ISA sempena Aidilfitri
Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memberi pengampunan kepada pendatang tanpa izin sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memberi pengampunan kepada pendatang tanpa izin sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Bagaimanapun, pengerusinya, Mahfuz Omar merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri supaya turut sama membebaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Katanya, ini kerana tahanan ISA, khususnya rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi yang beragama Islam, telah ditahan tanpa pendakwaan di mana-mana mahkamah dan tidak pula pernah dibuktikan kesalahan mereka.
"Sedangkan pendatang tanpa izin ada kes dan ada kesalahan tetapi diampun. Untuk keadilan kepada semua, maka wajar dan perlulah mereka dibebaskan dari tahanan ISA," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz mengulas keputusan kerajaan mengampunkan semua 1.2 pendatang tanpa izin di Malaysia untuk pulang ke negara asal tanpa sekatan sempena Aidilfitri bulan depan.
Abdullah mengumumkan program pengampunan itu ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden baru Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di jakarta baru-baru ini.
Bentuk tindakan
Laporan itu juga menyebut bahawa pengampunan ini tidak hanya membabitkan pekerja Indonesia tetapi semua pekerja asing tanpa izin bagi membolehkan semua balik ke negara asal.
Pihak berkuasa Malaysia tidak akan mengambil sebarang bentuk tindakan ke atas mereka kerana tinggal di negara ini secara haram.
Manakala Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid pula dilaporkan berkata, semua pendatang tanpa izin diberikan tempoh lebih dua minggu bermula 29 Oktober ini sehingga Aidilfitri untuk pulang ke negara masing-masing menerusi program pengampunan yang diumumkan kerajaan.
Sepanjang 17 hari yang berakhir 14 November ini, kerajaan menetapkan 19 pintu keluar di seluruh negara merangkumi jalan darat, laut dan udara untuk melancarkan proses penghantaran keluar pendatang tanpa izin terbabit ke negara-negara masing-masing.
Sehubungan itu, Mahfuz meminta supaya keadilan yang diberikan kepada rakyat asing itu turut diberikan kepada bukan sahaja tahanan ISA tetapi juga kepada isteri dan anak-anak mereka yang sebelum ini berhari raya tanpa bapa mereka.
Oleh itu, katanya, alangkah baiknya jika pada tahun ini, tahanan ISA ini dibebaskan supaya dapat menyambul Aidilfitri bersama orang tersayang.

