Pergerakan Pemuda umno akan membawa usul-usul yang dikemukakan pada semua mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian kepada presiden parti selepas mesyuarat Majlis Tertinggi yang dijadual pada 9 September ini.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata sebelum itu pihaknya akan meminta pengurusan Pemuda Umno untuk meneliti setiap usul yang diterima bagi memahami keadaan akar umbi dengan lebih mendalam.

"Kita akan bawa isu-isu dan pandangan daripada Pemuda di peringkat akar umbi supaya tindakan dapat diambil terhadap kerisauan dan keresahan mereka.

"Contoh isu ialah berkenaan derma politik, persepsi rakyat, siasatan berhubung derma dana politik dan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang bukan hanya dibincang peringkat Pemuda tapi dalam kalangan anak muda di luar parti," katanya.

Khairy yang ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di ibunegara hari ini, berkata setakat ini 182 pergerakan Pemuda bahagian telah bermesyuarat dan baki sembilan lagi akan selesai hujung minggu ini.

Beliau berkata pergerakan Pemuda sebagai badan pergerakan yang mewakili suara orang muda dan jambatan yang menghubungkan antara Umno dan pengundi muda, perlu memainkan peranan untuk menyampaikan persepsi serta perspektif golongan muda kepada pucuk pimpinan.

"Setiap usul tidak akan ditapis... (Pemuda) akan sampaikan apa yang kita dengar dari anak muda terutama di luar parti supaya pucuk pimpinan dapat lakukan apa yang patut untuk kembalikan keyakinan mereka terhadap parti," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata pergerakan itu tidak akan membuat sebarang keputusan ketika ini mengenai usul supaya pemilihan parti diteruskan tahun depan.

"Buat masa ini kita masih terikat dengan keputusan untuk menunda pemilihan parti selama 18 bulan, tapi memandangkan ada pandangan akar umbi, kita akan selesaikan dulu mesyuarat perwakilan, kemudian barulah lihat sejauh mana pandangan itu dipegang oleh Pemuda akar umbi," katanya.

Beliau ditanya mengenai terdapat usul daripada Umno bahagian yang mahukan pemilihan parti tidak ditunda, sebaliknya diteruskan seperti biasa tahun depan.

Pada 26 Jun lepas, Majlis Tertinggi Umno memutuskan pemilihan parti yang dijadual pada tahun depan akan ditangguhkan selama 18 bulan bagi memberi keutamaan terhadap khidmat parti kepada rakyat serta usaha memperkukuhkan parti itu.

- Bernama