Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memantau perilaku pihak berkuasa serta para peserta perhimpunan BERSIH 4.0.

Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam memberitahu pemberita semalam bahawa 20 pegawai sukarela akan ditempatkan di beberapa kawasan di ibu negara.

Beliau berkata para peserta perhimpunan diingatkan supaya tidak bertindak dengan membelakangkan undang-undang dan mengelak daripada menimbulkan kerosakan.

Selain memastikan kelancaran lalu lintas, pihak berkuasa harus mengelak daripada menggunakan kekerasan untuk mengawal perhimpunan, katanya.

Beliau berkata pemantauan serupa akan dilakukan di Sabah dan Sarawak yang perhimpunan serupa dirancang diadakan.

Sementara itu, PAS tidak akan mengerahkan anggota dan penyokongnya untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 di ibu negara, kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan, lapor Bernama.

Takiyuddin dalam kenyataan semalam berkata tarikh perhimpunan itu yang hanya selang sehari dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, adalah dirasakan tidak sesuai, lapor Bernama

Beliau berkata PAS hanya akan menghantar wakil ke acara itu.

Anggota Parlimen Kota Bharu itu turut mengingatkan ketenteraman awam serta kestabilan negara mesti dijaga dan ini menjadi tanggungjawab semua pihak.

-Bernama