Ekoran peletakan jawatan beramai-ramai melibatkan kepimpinan PAS di Selangor, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS di negeri itu tidak akan lumpuh dan kawasan yang terlibat tidak akan terbubar.

Katanya, kekosongan jawatan yang melepaskan bakal diisi dengan pemimpin bari berdasarkan peraturan pentadbiran yang sedia ada, lapor Sinar Harian hari ini.

"Bahkan kita mendapat maklum balas daripada pelbagai kalangan kemasukan ahli baru berlipar kali ganda bukan sahaja menjadi ahli PAS bahkan menjadi pemimpin kerana kita mempunyai barisan pelapis yang ramai," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Minggu lalu dilaporkan beberapa kepimpinan PAS di Shah Alam, Kelana Jaya, Kota Raja, Kapar dan Klang bersama-sama ahli akar umbi melepaskan jawatan dan mengumumkan akan menyertai parti Islam baru yang dicadangkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB).

Parti Islam itu yang dilapor dikenali sebagai Parti Amanah Rakyat bakal diumumkan pada hujung bulan ini.

Sementara itu, dalam laporan yang lain, akhbar itu menyebut Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Mahfodz Mohamad ( gambar ) mengalu-alukan peletakan jawatan 16 daripada 32 anggota jawatankuasa PAS Gelang Patah kelmarin minggu lalu, bagi menyertai parti Islam baru itu.

" I'm very happy . Saya selesa apabila mereka letak jawatan kerana mereka memang sudah tidak dapat menjalankan tugas. Elok sangatlah mereka letak jawatan.

"Kita memang tunggu mereka letak jawatan. Banyak masalah dapat diselesaikan kerana sejak Mei mereka tidak jalankan aktiviti kerana menunggu penubuhan parti baru itu malah turut berkempen untuk parti itu," katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Dalam laporan itu juga, Mahfodz menyifatkan kumpulan itu sebagai "musuh dalam selimut" dalam PAS.

Dalam satu lagi laporan, akhbar itu menyebut Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ( gambar ) pula menyifatkan peletakan jawatan beramai-ramai ahli parti itu memudahkan gerak kerja parti pada masa depan.

Dalam laporan itu, timbalan menteri besar Kelantan itu berkata tindakan itu turut menguntungkan kedua-dua pihak dan jalan terbaik merungkaikan konflik yang sedang berlaku kini.

"Ia adalah jalan terbaik, mereka keluar sebab kalua mereka masih dalam parti mereka akan menyusahkan diri mereka dan kita pun masalah.

"Selain itu kita boleh mengisi kekosongan dengan muka baru yang masih ramai di dalam parti," katanya seperti dilapor akhbar itu.