#LangkahSiswa enggan berganjak
Walaupun diarah beredar dari luar kawasan parlimen, mahasiswa yang menyertai kempen #LangkahSiswa enggan berbuat demikian dan bertegas mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi maklum balas terhadap tiga tuntutan mereka.
Koordinator kumpulan itu, Lau Yi Leong berkata mereka tidak akan berganjak dari situ dan menegaskan tidak akan membuat sebarang kekecohan.
“Kami tidak akan beredar. Kami dituduh membuat vandalisme tapi sebenarnya kami hanya duduk untuk menunggu PM memberi maklum balas,” katanya kepada Malaysiakini.
Seramai 15 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiba di luar kawasan parlimen pada jam 10 pagi tadi dan mengarahkan kumpulan itu untuk beredar.
Mereka berunding selama kira-kira 20 minit dan tiada sebarang rampasan barangan dibuat.
AMK juga sokong
Kakitangan DBKL akhirnya meninggalkan kawasan itu.
Sejak petang semalam aktivis #LangkahSiswa berkampung di situ dalam keadaan hujan dan duduk hanya berlapikkan kanvas.
Mereka mendesak Najib untuk meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan isu skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar turut hadir di luar pekarangan parlimen pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Nurul Izzah sempat meluangkan masa selama 15 minit dan memberikan kata-kata semangat kepada mahasiswa itu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataannya menyokong #LangkahSiswa dengan berkata, pihak berkuasa seharusnya menghentikan intimidasi dan tekanan terhadap mahasiswa.
“AMK juga menyokong #LangkahSiswa dan #OccupyParlimen membabitkan mahasiswa yang berkumpul di bangunan parlimen untuk mengemukakan tuntutan kepada perdana menteri. Pihak berkuasa seharusnya menghentikan intimidasi dan tekanan terhadap mereka.
“Hak untuk bersuara adalah hak yang termaktub dalam perlembagaan. Pihak berkuasa harus menghentikan tekanan terhadap semua rakyat Malaysia yang menggunakan hak tersebut,” kata Nik Nazmi.
Menurut pemerhatian Malaysiakini, sejak malam tadi ada orang ramai hadir dan menyumbang makanan serta memberikan sokongan kepada kumpulan tersebut.
Kumpulan terbabit juga dilihat mula melakar poster baru dan akan mengadakan aktiviti bedah buku pada jam 4 petang ini.
@n_izzah dan YB Wong Chen bersama Mahasiswa Mahasiswa Occupy Parliament. @KesatuanM @nazrulnazir @AmmarAtan pic.twitter.com/uDJVyfSXIc
— Serikat Mahasiswa (@serikatmsiswa) August 25, 2015

