Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, tindakan ibu bapa yang membawa anak mereka ke perhimpunan haram sebagai tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya orang ramai tidak menyertai perhimpunan BERSIH 4 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini.

"Kalau boleh harapan saya, semua tidak terlibat dengan himpunan haram sebab kalau ia di luar kawalan, boleh jadi sesuatu yang memudaratkan keadaan.

"Bukan wanita sahaja tetapi semua (tak perlu sertai himpunan). Negara kita sudah aman sejahtera dan (kita juga) nak raikan hari kebangsaan.

"Itu nasihat saya. Terutama yang membawa budak kecil bersama, sebab itu tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sama ada mempunyai saranan kepada para wanita agar tidak menyertai perhimpunan BERSIH 4.

Perhimpunan BERSIH 4 akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini.

Ia dijadualkan berlangsung di tiga kota besar, iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Kuala Lumpur menjadi lokasi terbesar himpunan itu di mana penganjur BERSIH 4, Maria Chin Abdullah menjangkakan lebih 100,000 akan menyertai mereka.

BERSIH juga merancang berarak daripada lima tempat tumpuan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur menuju ke Dataran Merdeka dan bermalam di sana.