'Ambil iktibar demi Pemuda Umno kekal relevan'
Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun menyarankan anggota Pergerakan Pemuda Umno supaya mengambil iktibar daripada pengalaman yang lalu dalam memperjuangkan isu rakyat jika mahu terus kekal relevan.
Beliau berkata usia pergerakan itu yang mencecahkan 66 tahun hari ini, bukanlah jangka masa yang pendek, justeru Pemuda perlu berubah mengikut keperluan semasa yang semakin dinamik.
"Peringatan (ini) buat diri saya dan pimpinan dan Pemuda Umno seluruh negara kita, mesti ambil iktibar atas pengalaman lepas dan lihat kembali apa yang kita perlukan di masa hadapan.
"(Pemuda Umno) mesti jadi kuasa yang boleh diterima generasi muda dan rakyat sebagai kepimpinan yang mampu perjuangkan isu rakyat dalam konteks membawa negara ini ke peringkat lebih baik.
"Saya risau kalau kepimpinan Pemuda Umno tak mampu jadi kuasa menangani cabaran ini, maka mungkin umur 66 tahun ini akhirnya kita akan lenyap," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat sempena ulang tahun Pergerakan Pemuda Umno ke-66 di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Majlis yang dihadiri lebih 30 Pemuda Umno ini turut dimeriahkan dengan kehadiran 50 anak yatim dari sekitar Kuala Lumpur yang turut menerima sumbangan RM50 daripada pergerakan itu.
Khairul Azwan menjawab soalan pemberita mengenai harapan dan halatuju Pemuda Umno yang kini mencecah umur ke-66 hari ini.
Kerajaan bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini dilanda pelbagai skandal termasuk isu kejatuhan nilai ringgit dalam tempoh 17 tahun ini.
Diminta mengulas berhubung titah Tuanku Sultan Ibrahim Iskandar, Khairul Azwan berkata:
"Apa jua teguran Sultan dan Raja-raja Melayu, kita pemimpin politik menjunjung kasih atas teguran yang dibuat.
"Sebelum ini pun ada teguran-teguran oleh Raja-raja Melayu dan kepimpinan kita sebelum ini pun banyak terima pandangan dari Raja-raja Melayu.
"Pandangan ke bawah Sultan Johor bukan isu," katanya.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah dengan mengingatkan pemimpin kerajaan supaya memikul tanggungjawab dengan penuh amanah untuk kepentingan umum dan tidak mengutamakan kepentingan peribadi.

