Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) tidak terkejut dengan dapatan kajian yang didedahkan oleh Khazanah Research Institute mengenai lambungan pasaran harga rumah yang terlalu tinggi sehingga sukar dimiliki oleh majoriti rakyat di Malaysia.

Perkara tersebut pernah dibincangkan secara serius sebelum ini sehingga ramai pihak mengunjurkan akan berlaku lambakan generasi penyewa khususnya di kawasan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Pada 23 Mac yang lalu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga telah membangkitkan isu pemilikan hartanah di kalangan anak muda kepada bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Ahmad Phesal Talib.

Antara isu yang dibangkitkan adalah lebihan penawaran kediaman mewah sehingga meminggirkan permintaan sebenar rakyat.

Menurut satu kajian yang didedahkan oleh ketua pegawai eksekutif Kumpulan REI, pemaju di Malaysia giat membina kediaman mewah yang hanya mampu dimiliki oleh 30 peratus rakyat Malaysia.

Purata hartanah mewah yang ditawarkan telah menjangkau sehingga 70 peratus dalam pasaran, sedangkan jumlah yang wajar hanyalah sekitar 20 peratus sahaja.

Oleh yang demikian, DPPM menggesa pihak badan perundangan, eksekutif, pihak berkuasa tempatan dan swasta giat bersama-sama membangunkan lebih banyak perumahan mampu milik khususnya di bandar-bandar utama. Ia adalah satu keperluan utama bagi menjamin kesejahteraan dan masa depan mereka.

Dalam hal ini, kami turut mengalu-alukan iltizam Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz untuk menyediakan kira-kira 50,000 rumah mampu milik di ibu kota tersebut. Ia seharusnya menjadi agenda utama di seluruh negara.

DPPM turut ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk menawarkan lebih banyak perumahan mampu milik.

Pertama ialah pembangunan tanah wakaf yang boleh dimodelkan daripada projek Taman Wakaf Seetee Aisah di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Ia adalah pusat komersial dan residen pertama yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan UDA Land (North) Sdn Bhd atas tanah wakaf seluas lima hektar untuk kepentingan umat Islam.

Langkah kedua yang boleh dipertimbangkan ialah dengan campur tangan minimum kerajaan terhadap nilai pasaran tanah khususnya di bandar-bandar utama.

Harga rumah mampu milik sukar dibendung disebabkan spekulasi tidak terkawal nilai semasa tanah. Apakah mekanisme efektif untuk membendung spekulasi tersebut?

Sebagai contoh;

a) Harga purata unit apartmen (800 kaki persegi) di Bukit Jalil – RM 400,000.

b) Harga purata unit apartmen (900 kaki persegi) di Brickfields – RM 600,000.00

c) Harga purata unit apartmen (900 kaki persegi) di Ampang – RM 300,000.00

Perbezaan ketara antara ketiga-tiga kawasan boleh dijustifikasikan namun bagaimana kerajaan ingin memastikan nilai pasaran tersebut berada dalam lingkungan yang munasabah?

Nilai harta tanah itu perlu ditetapkan berdasarkan keadaan apartmen dan keperluan rakyat, agar ia tidak terus dispekulasikan.

Walaupun penyewaan dan pembelian rumah kediaman dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), namun para pemaju juga ditekan dengan beberapa cukai lain seperti setem duti, levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan peningkatan kos binaan yang dikenakan GST serta kenaikan kos logistik termasuk petrol.

Bebanan ini yang disalurkan kepada rakyat yang majoritinya hanya mengecapi kenaikan paras tangga gaji yang perlahan dan menanggung kos sara hidup yang tinggi.

Sudah menjadi satu kebiasaan hari ini, golongan muda berulang alik setiap hari dari Senawang, Banting, Ijok dan Tanjong Malim ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

Kesukaran hidup telah mengherot graf keseimbangan hidup rakyat. Akhirnya, mereka sukar mengawal perasaan dan tiada kesempatan untuk meningkatkan kefahaman agama dan membahagiakan rumah tangga.

Walhal, Allah SWT telah berfirman dalam Surah An-Nahlu, ayat ke-80 yang bermaksud, “Allah menjadikan kamu rumah sebagai tempat tinggal (tempat ketenangan)”.


KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN naib ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.