BERITA Malaysiakini

Sultan: Tukar balik nama Kulai serta-merta

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan kerajaan Johor untuk menukar semula nama daerah Kulaijaya kepada nama asalnya, Kulai, serta-merta.

Bertitah ketika merasmikan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, ibu pejabat polis kontinjen Johor, di Johor Bahru hari ini, baginda mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak menukar nama asal kampung atau tempat di negeri itu.

"Sesebuah kampung atau tempat telah diberikan nama oleh nenek moyang kita dahulu mengikut kesesuaian dan sejarahnya walaupun namanya berbunyi agak pelik. Namun nama tersebut hendaklah dikekalkan dan jangan diubah.

"Oleh itu saya minta kerajaan negeri menukar semula nama daerah Kulaijaya kepada nama asalnya iaitu Kulai dengan serta-merta.

"Bagi tujuan ini, kerajaan hendaklah membuat gubahan pada dokumen-dokumen hak milik dan lain-lain dokumen secara percuma," titah Sultan Ibrahim.

Menurut baginda, selain Kulaijaya nama lain bagi Nusajaya juga perlu difikirkan, yang dianggap tidak mempunyai kaitan dengan sejarah kawasan itu.

"Begitu juga dengan nama Nusajaya yang saya tidak nampak apa kaitannya dengan sejarah kawasan tersebut. Saya harap kerajaan dapat memikirkan dan meneliti tentang perkara ini," tegas Sultan Ibrahim.

'Gui lai' atau 'Tengku Lai'

Daerah Kecil Kulai dilapor dinaik taraf menjadi daerah penuh dan diberi nama baru Kulaijaya pada 21 Jun 2008 dan pengisytiharannya dibuat oleh sultan Sultan Iskandar, sultan Johor ketika itu.

Menurut Utusan Online , dengan penaiktarafan daerah kecil Kulai kepada daerah penuh, Johor kini mempunyai 10 daerah.

Menteri besar Johor ketika itu Datuk Abdul Ghani Othman dalam ucapannya berkata, penubuhan daerah penuh itu selaras matlamat kerajaan meningkatkan kesejahteraan hidup di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ekoran itu persempadanan semula dilakukan antara Kulaijaya dan Daerah Johor Bahru dengan sebahagian besar kawasan yang sebelum ini di bawah Daerah Johor Bahru dimasukkan ke dalam Daerah Kulaijaya.

Menurut portal Majis Perbandaran Kulai, terdapat dua versi berkaitan asal-usul nama Kulai.

Pertama, ia dikatakan daripada perkataan “gui lai” yang bermaksud “kedatangan kura-kura”, yang dikaitkan dengan kemunculan berpuluh-puluh ekor kura-kura menghala ke pekan ketika peristiwa banjir 1920.

Terdapat juga versi menyatakan Kulai mendapat namanya daripada “Tengku Lai” yang membawa maksud “Tengku datang” yang datang ke Kulai untuk mengutip cukai dan berburu.