Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah memaklumkan kepada pemangku Naib Canselor Prof Abdul Rashid Abdullah mengenai "kebimbangan" mereka terhadap tindakan ahli-ahli politik untuk mengembangkan agenda politik mereka di kampus dengan mengadakan pertemuan peribadi dengan kakitangan Unimas.

Walaupun dalam suratnya kepada Prof Abdul Rashid itu, persatuan tersebut tidak menyebut nama ahli politik terbabit atau butir-butir pertemuan itu, tetapi difahamkan ia merujuk kepada pertemuan peribadi Timbalan Ketua Menteri Datuk Alfred Jabu dengan pensyarah kaum Dayak di Unimas.

Salinan surat tersebut, yang ditandatangi oleh presiden persatuan itu, Jaya Prakash, turut diedarkan kepada kakitangan kaum Dayak di universiti tersebut.

Menurut seorang pensyarah yang enggan disebut namanya, persatuan tersebut bimbang pertemuan seumpama itu akan menjadi ikutan ahli-ahli politik lain untuk memperalatkan kemudahan kampus untuk mengadakan pertemuan peribadi untuk kepentingan politik mereka.

"Jika anda membuka pintu (bagi pertemuan tersebut), apa yang akan terjadi seterusnya? Akan ada ahli politik yang mahu mengadakan pertemuan dengan kakitangan kaum Cina, begitu juga dengan yang lain-lainnya...tidak akan ada kesudahannya."

"Ini bukan satu contoh ikutan yang baik. Unimas adalah agensi persekutuan. Kami komited ke arah kecemerlangan akademik. Pihak pentadbiran tidak harus membiarkannya berlaku," katanya.

Katanya, beliau tidak terfikir akan ada seseorang menteri di Semenanjung Malaysia yang akan pergi ke univerisiti di sana untuk mengadakan pertemuan seumpama itu.

Mesyuarat penjelasan

"Misalnya,(Menteri Besar Selangor) Mohd Khir Toyo tidak akan pergi ke Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mengadakan perjumpaan peribadi dengan kakitangan akademiknya sekiranya ia dilihat untuk kepentingan agenda politik beliau," tambahnya.

Jabu, seorang Iban, menemui kakitangan akademik kaum Dayak di Unimas baru-baru ini dan bercakap mengenai perjuangan politiknya dan sumbangannya kepada masyarakat Dayak, termasuk aktiviti perladangan, dan peranan kerajaan negeri membangunkan universiti berkenaan.

Terdapat kira-kira 100 kakitangan akademik kaum Dayak yang bertugas di Unimas.

Jabu dikatakan kecewa dengan tindak-tanduk beberapa graduan kaum Dayak, terutamanya ahli Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA), yang didakwanya cuba 'memalukan' kepimpinan kerajaan negeri melalui perangkaan untuk menunjukkan tiada kemajuan dicapai oleh masyarakat Dayak.

Malaysiakini difahamkan Presiden SDGA, Prof Dimbab Ngidang, yang hadir sama di perjumpaan tersebut, telah menjawab dakwaan tersebut, dengan mengatakan beberapa fakta yang dibangkitkan oleh Jabu adalah tidak betul.

Prof Dimbab menjelaskan SDGA tidak pernah berniat untuk memalukan sesiapa, apatah lagi pemimpin kerajaan negeri, apabila ianya menganjurkan seminar mengenai kemiskinan masyarakat luar bandar.

Manakala seorang kakitangan akademik bukan kaum Dayak pula memberitahu malaysiakini bahawa pemangku Naib Canselor dijangka memanggil satu mesyuarat selepas menerima surat tersebut bagi menjelaskan pendirian dan dasar-dasar pihak pentadbiran universiti berhubung perkara itu.


TONY THIEN adalah pemberita sambilan malaysiakini di Sarawak.