Seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang tinggal di Malaysia, Erik Ossemig, telah mengundi John Kerry sebagai presiden baru AS sepertimana pilihan majoriti pembaca malaysiakini .

"Saya telahpun mengirimkan undi pos saya Jumaat lalu (15 Oktober). Ia dihantar ke Flagstaff, Arizona, tempat saya mendaftar sebagai pengundi," kata Ossemig, seorang bekas tentera AS yang tinggal di Malaysia sejak 14 tahun lalu.

Undi Ossemig yang mewakili 'pilihan rakyat Malaysia' itu akan dikira apabila pilihanraya presiden AS diadakan Selasa depan.

Ossemig mahu pembaca malaysiakini membuat pilihan itu kerana beliau percaya pengundi bukan rakyat Amerika juga perlu diberi peluang untuk menyertai pilihanraya tersebut.

Sejak sebulan lalu, 8,090 pembaca malaysiakini menyertai undian melalui talian yang bermula pada 20 September 20 dan berakhir pada 15 Oktober lalu. Keputusannya, John Kerry (Democrat) menjadi pilihan popular mereka.

Kerry mendapat 60.67 peratus(4,908) undi, manakala penyandang jawatan tersebut, George W Bush (Republican) di tempat kedua dengan 27.65 peratus(2,237) manakala seorang lagi calon, Ralph Nader (Bebas) di tempat ketiga dengan 11.68 peratus (945).

Persaingan sengit

Keputusan undian di malaysiakini itu amat berbeza dengan pungutan umum di kalangan pengundi rakyat Amerika di mana Kerry dan Bush bersaing rapat. Manakala Nader pula hanya menjadi pilihan satu atau dua peratus mereka yang ditemui.

"Saya tidak terperanjat bila Nader mendapat banyak undi kerana saya melihatnya sebagai undi protes terhadap kedua-dua calon lagi bukannya kerana mereka bersetuju dengan apa yang diperjuangkan oleh Nader," kata Ossemig, seorang penulis sambilan dan jurufoto, yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

"Apakah perjuangan beliau (Nader)? Tiada siapa yang tahu kerana beliau tidak langsung mendapat perhatian pihak media."

Ossemig berkata, beliau juga agak terperanjat dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada pembaca malaysiakini yang menyertai undian tersebut.

"Jumlahnya lebih dua kali ganda daripada apa yang kami jangkakan," katanya.

Dengan mengambil kira kemungkinan ada yang mengundi lebih daripada sekali, undian di malaysiakini " Presiden AS - Siapakah pilihan anda"- telah diubahsuai supaya pesertanya hanya boleh mengundi sekali sahaja.

Ini dilakukan melalui pengggunaan 'cookies' yang dapat mengenalpasti komputer yang digunakan untuk mengundi sebelumnya. Bagaimanapun, dipercayai ada penggodam yang dapat'menceroboh' sekatan tersebut.

Lamanweb ini juga berjaya mengesan dua percubaan untuk menyelewengkan undian di talian tersebut. Bagaimanapun, langkah segera dapat menyekat percubaan tersebut daripada menjejaskan keputusannya. Undi lebihan tersebut juga dibuang bagi memastikan kesahihan undian yang diterima.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan sekali. Ini mengesahkan bahawa rakyat di luar Amerika juga mahu menentukan kepimpinan di peringkat global," kata Ossemig.

Ossemig yang tinggal di Petaling Jaya, telah bekerja dengan pelbagai penerbitan tempatan dan antarabangsa, termasuk majalah wanita Marie Claire dan majalah bulanan penggembaraan Action Asia.

Perbezaan

Tetapi apakah undian Ossemig akan memberi sebarang kesan (terhadap pemilihan presiden)?

"Saya sedar ianya hanya satu undi, tetapi yang penting ianya adalah pilihan simbolik (bagi pilihanraya presiden kali ini)," katanya.

"Bagaimanapun, bila dilihat dari perspektif yang berbeza, undi saya itu mempunyai kesan secara langsung terhadap keputusan pilihanraya president nanti. Undi saya itu bagaikan setitik air di dalam baldi, tetapi sekurang-kurangnya ianya di dalam baldi."

Ossemig juga menyatakan hasratnya supaya tujuh juta rakyat Amerika yang tinggal di luar negara itu akan menurut jejak langkahnya dengan memberi peluang kepada rakyat sejagat untuk memilih bagi pihak mereka.

"Semangat ini telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia melalui undi saya itu. Saya berhasrat melihat lebih ramai rakyat Amerika di luar negara itu, akan berbuat demikian dalam pilihanraya presiden pada tahun 2008 nanti," katanya.

Walaupun Ossemig mengundi Kerry, sepertimana pilihan pembaca malaysiakini , tetapi beliau tetap merahsiakan pilihan peribadinya.

"Saya telah jelaskan daripada mula-mula lagi bahawa saya akan merahsiakan pilihan peribadi saya. Lagi pula, saya telah menyerahkan undi saya kepada rakyat Malaysia," katanya.

Mengikut keputusan pungutan Trends 2004 yang diterbitkan baru-baru ini, yang mengumpukan pandapat awam mengenai dasar luar AS, jawapannya adalah satu mereka tidak mahu melihat Bush terus menerajui Amerika.