Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketika puluhan ribu berhimpun hampir 34 jam di sekitar Dataran Merdeka bagi mendesak pengundurannya, Datuk Seri Najib Razak tampil menegaskan tidak akan sesekali mengalah atau menoleh ke belakang.

"Saya ingin mengulangi, setelah layar telah dikembangkan, apabila sauh telah dilabuhkan, pantang ketua kapal dan anak-anak kapal menoleh ke belakang,” ucap perdana menteri dalam amanat hari Kebangsaan 2015 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam ini.

Malah, Najib berkata barisan kabinet barunya serta BN dan beliau sendiri akan terus memacu negara ke hadapan.

Tegasnya ini kerana beliau telah mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

Sementara itu, Bernama melaporkan beliau berikrar beliau dan barisan pentadbirannya tidak akan membiarkan Malaysia jatuh, malah akan terus membangunkan tanah air supaya kekal makmur di persada dunia.

Perdana Menteri berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan yang lain akan meneruskan usaha itu walau apa pun cabaran yang mendatang serta dugaan yang melanda.

Ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam ini, Najib melahirkan rasa kesal atas tindakan segelintir pihak yang yang sanggup dan tergamak mencetuskan bibit-bibit persengketaan serta api permusuhan menjelang ulang tahun kemerdekaan negara.

"Sesungguhnya, kami tidak akan membenarkan sesiapa sahaja sama ada dari dalam atau luar (negara), untuk dengan mudahnya datang dan mencuri, merosakkan atau memusnahkan apa yang telah kami bina selama ini.

"Beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur begitu sahaja," katanya.

Lihat Komen
ADS