Wan Azizah kekal kerusi Parlimen Permatang Pauh
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak petisyen pilihanraya Barisan Nasional untuk membatalkan keputusan tersebut.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak petisyen pilihanraya Barisan Nasional untuk membatalkan keputusan tersebut.
Hakim Hasan Lah menolak petisyen itu yang dikemukakan oleh calon BN/Umno bagi kerusi berkenaan, selepas Wan Azizah diisytiharkan sebagai pemenangnya sewaktu pilihanraya umum pada 21 March lalu.
Keputusan hari ini diumumkan selepas mahkamah mendengar keterangan saksi dan hujah kedua-dua belah pihak selama 25 hari, mulai 21 Jun lalu.
Dewan mahkamah dipenuhi penyokong kedua-dua buah parti, manakala kira-kira 200 lagi berkumpul di luar bangunan mahkamah menunggu pengumuman keputusan tersebut.
Wan Azizah, isteri kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memenangi kerusi Parlimen tersebut dan majoriti 590 undi selepas dua kali pengiraan undi dibuat.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh diwakili oleh Anwar sebelum pemecatan beliau daripada Umno dan kerajaan pada 1998, dan seterusnya didakwa di mahkamah atas tuduhan salahguna kuasa dan liwat.
Menang
Wan Azizah, 52, tidak hadir di mahkamah hari ini kerana beliau sedang menemani Anwar di Jeddah untuk mengerjakan Umrah selepas Anwar selamat menjalani pembedahan tulang di Jerman.
Beliau bertanding kerusi tersebut pada pilihanraya umum 1999 apabila isu pemecatan Anwar sampai ke kemuncaknya, dan menewaskan calon BN, Datuk Dr Ibrahim Saad dengan majoriti 9,077 undi.
Manakala Pirdaus, 39, yang merupakan Exco Pemuda Umno dan bekas imam Masjid Negara, telah menamakan Wan Azizah, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan pegawai pilihanraya Muzamin Mastak sebagai responden.
Antara dakwaan beliau termasuk pegawai pilihanraya gagal mengisytiharkan keputusan pengiraan pertama pada 21 Mac, agennya dilarang masuk ke pusat pengiraan undi di Sekolah Seri Penanti dan lima peti undi tidak dikunci-rapi ketika pengiraan semula diadakan.
Pirdaus juga memohon supaya mahkamah memerintahkan diadakan pengiraan semula undi atau mengisytiharkan beliau sebagai pemenang bagi kerusi terbabit. Beliau juga memohon mahkamah mengeluarkan sebarang perintah yang munasabah, termasuk perintah diadakan pilihanraya kecil.
PKR, memenangi lima kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum 1999. Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum lalu, parti itu hanya mampu mengekalkan kerusi Permatang Pauh sahaja.

