Perlantikan Annuar dianggap cerita lama diberi nafas baru
Perlantikan Datuk Annuar Musa sebagai Ketua Perhubungan Umno Kelantan yang baru bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana rombakan seumpama itu sudah terlalu kerap berlaku dalam barisan kepimpinan Umno negeri itu.
Perlantikan Datuk Annuar Musa sebagai Ketua Perhubungan Umno Kelantan yang baru bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana rombakan seumpama itu sudah terlalu kerap berlaku dalam barisan kepimpinan Umno negeri itu.
"Begitu juga kerap berlakunya perubahan jawatan yang disandang oleh pemimpin-pemimpin Umno negeri itu sama ada muka baru ataupun muka lama," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno Kelantan.
Oleh itu, katanya, rombakan terbaru sepertimana yang diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Selasa lalu, boleh dianggap sebagai cerita lama yang diberi 'nafas baru".
Pada Januari tahun lalu, Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas, telah 'diturunkan pangkat' daripada Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kelantan kepada ahli biasa jawatankuasa tersebut.
Tempatnya digantikan oleh Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Zaid Ibrahim. Bagaimanapun, kali ini, Annuar "dinaikkan pangkat" semula, manakala Zaid pula terkeluar daripada barisan kepimpinan baru itu.
Tempatnya digantikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Awang Adek Husin, sebagai timbalan Annuar.
Sebelum ini Dr Awang Adek yang juga Ahli Parlimen Bachok, memegang jawatan bendahari Umno Kelantan. Annuar dan Dr Awang Adek terpilih sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti itu bulan lalu.
Buat masa ini, kekosongan berlaku bagi jawatan bendahari yang sebelum ini disandang oleh Awang.
Kekal
"Persoalannya sekarang ialah sama ada Zaid akan diberi sebarang jawatan dalam badan perhubungan Umno negeri itu. Beliau dikatakan tidak sehaluan dengan Datuk Mustapa Mohamed.
"Kini Datuk Mustapa tidak lagi menerajui Umno Kelantan, persoalannya sekarang apakah Annuar akan mengekalkan Zaid dalam jawatan Umno negeri?," kata sumber-sumber itu lagi.
Menurutnya, yang menjadi masalah dalam Umno Kelantan selama ini ialah "politik ketam" sehingga mengakibatkan parti itu menjadi lemah dan akhirnya Kelantan jatuh ke tangan pembangkang hingga ke hari ini.
"Kami rasa cabaran utama yang perlu diselesaikan oleh Datuk Annuar ialah untuk memastikan 'politik ketam' dihentikan. Jika tidak beliau juga akan 'ditarik' turun oleh yang lain," katanya.
Sementara itu, Annuar memberitahu malaysiakini, beliau akan berusaha mengukuhkan parti itu supaya diterima secara lebih menyeluruh di kalangan rakyat negeri itu.
"Saya mahu menjadikan Umno pimpinan baru ini menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya dengan harapan rakyat Kelantan memilih kita (Umno) di dalam pilihanraya umum akan datang.
"Ini satu tanggungjawab dan amanah yang besar untuk saya untuk membela rakyat Kelantan selama 14 tahun tertindas dan ketinggalan di bawah pemerintahan Pas," katanya.
Annuar sebelum ini dikenali sebagai pemimpin yang agak kontroversi. Beliau tidak pernah menyebelahi Tengku Razaleigh Hamzah ketika anak Raja Kelantan itu menentang Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertandingan Presiden Umno pada 1987.
Nama beliau turut dibabitkan dengan kes penyelewengan tabung Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kelantan dan Terengganu.
Program baru
Annuar pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Kemajuan Luar Bandar sebelum kalah kerusi parlimen Ketereh kepada calon Keadilan Mohamad Mustaffa dalam pilihanraya umum 1999. Pada 1990, beliau tewas kepada tokoh Pas Muhamad Sabu.
Annuar berkata, beliau merancang untuk menemui semua ketua-ketua Umno bahagian di Kelantan bagi mendapatkan pandangan mereka bagi mengukuhkan parti di negeri itu.
"Saya akan mendapatkan maklumat daripada mereka bagaimana untuk mengukuhkan lagi Umno Kelantan selepas ini, kerana kita sudah nampak rakyat memberi sambutan positif kepada parti ini.
"Perjumpaan ini akan diadakan secepat mungkin, barangkali sebelum sambutan Aidilftri. Bagaimanapun, saya akan menemui Presiden (Abdullah) terlebih dahulu, ini yang saya sedang fikirkan sekarang sebelum sebarang program baru dibuat," tambahnya.
Menurutnya, apa yang penting sekarang ialah memastikan Umno Kelantan terus berada di atas landasan supaya terus diterima oleh rakyat Kelantan.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno yang baru, Tan Sri Muhammad Mohd Taib pula berkata adalah terlalu awal untuk memberitahu program yang akan dilaksanakannya.
"Lepas raya ini baru program parti boleh dibuat. Buat masa ini biarlah kita sambut Aidilfitri dulu," katanya. Muhd Taib dilantik menggantikan Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.
Muhd Taib gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan Umno pada 23 September lalu, selepas hanya menduduki tempat keempat di belakang seorang lagi penyandang jawatan itu, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Beliau juga tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu.
Ketika dihubungi malaysiakini , Muhd Taib menyifatkan perlantikan itu sebagai satu tanggungjawab yang sukar yang memerlukan sokongan dan kerjasama semua ahli Umno.
Katanya, Umno kuat bukan kerana perlantikan tokoh tertentu tetapi rekod yang baik ditunjukkan oleh parti kepada rakyat.
"Siapa yang menjadi Ketua Penerangan Umno tidak penting tetapi saya berjanji untuk melakukan yang terbaik kepada ahli supaya lebih kuat lagi," ujarnya lagi.

