Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akar umbi MCA dilapor tak puas hati Liow terlalu lembut
Diterbitkan:  Sep 3, 2015 9:44 AM
Dikemaskini: 2:48 AM

Beberapa pemimpin akar umbi MCA dilaporkan tidak berpuas hati dengan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana terlalu lembut dalam bersuara bagi pihak masyarakat Cina.

Mereka sedang menimbang untuk mendesak Liow menyuarakan rungutan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, bagi mempertahankan imej parti itu bahawa ia mewakili masyarakat Cina.

Menurut laporan Sin Chew Daily, beberapa ketua bahagian mengesahkan bahawa akar umbi tidak berpuas hati dengan beliau kerana terlalu lembut dalam BN.

Beberapa pemimpin akar umbi tidak berpuas hati dan kecewa dengan pendirian pimpinan pusat parti itu berhubung dengan kenyataan Ketua Pemudanya Chong Sin Woon baru-baru ini mengenai perhimpunan BERSIH 4.

"Kenyataan Chong adalah berdasarkan hak rakyat untuk perhimpunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, tetapi kini pemimpin BN terus mengecam dan menggesa Chong meletak jawatan.

"Adakah ini bermakna jika BN mahu mengambil jawatan timbalan menteri pendidikan dari Chong, kita juga harus biarkannya?"

Laporan itu juga berkata pemimpin Pemuda berbelah bagi mengenai perkara itu, dengan satu puak menyokong kenyataan Chong, manakala satu pihak lagi menyokong Liow yang percaya MCA perlu berdiri bersama-sama dengan BN.

Bagaimanapun sumber-sumber berkata, mereka merasakan MCA tidak sepatutnya keluar dari BN, kerana ia akan berdepan dengan keadaan yang lebih sukar berbanding sekarang.

Sementara itu, Timbalan Ketua publisiti MCA, Marco Yap mengumumkan peletakan jawatannya semalam.

Di laman Facebook, Yap berkata beliau kecewa apabila ahli-ahli dalam pasukan yang sama tidak sehaluan, terutama apabila ia "menjadi semakin jauh dari kepimpinan, tetapi semakin lebih dekat dengan rakyat."

Dia dilaporkan berkata tidak sehaluan dengan ketua publisiti, Chai Kim Sen kerana beliau (Yap) mempunyai prinsipnya sendiri.

"Untuk mengelakkan sebarang keadaan janggal, saya dengan ini meletak jawatan saya."

Sebelum perhimpunan BERSIH, Chong dilaporkan berkata tiada tindakan disiplin akan diambil terhadap ahli-ahli parti yang mengambil bahagian dalam protes itu yang turut menuntut peletakan jawatan Najib.

Beliau dilaporkan oleh Star Online sebagai menasihatkan mereka supaya mematuhi undang-undang, mempunyai disiplin diri, dan menjaga diri.

Bagaimanapun akhbar harian berbahasa Inggeris itu telah mengeluarkan laporan tersebut dari laman web itu.

Bagaimanapun Naib Presiden Chew Mei Fun dipetik Bernama sebagai berkata MCA mempunyai mekanisme untuk bertindak terhadap mana-mana ahli yang menyertai perhimpunan itu atau terbabit dalam apa cara pun.

Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan kemudiannya menegaskan bahawa ahli-ahli parti itu tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 4. - Mkini English

Lihat Komen
ADS