Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Pekerja DBKL kerja 36 jam bersih sampah perhimpunan
Diterbitkan:  Sep 3, 2015 5:43 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa bekerja 36 jam untuk membersihkan longgokan sampah yang ditinggalkan peserta perhimpunan BERSIH 4 di ibu negara, hujung minggu lepas.

Justeru, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata penganjur perhimpunan itu harus bertanggunjawab dalam menanggung kos pembersihan berjumlah RM65,000.

Beliau berkata pihak penganjur mempunyai kewangan yang cukup untuk membayar kos pembersihan itu memandangkan mereka berjaya mengutip derma sebanyak RM2.4 juta.

"Bukan sekadar sampah yang perlu dikutip, air kencing peserta perhimpunan di pokok bunga, belakang bangunan, bawah tangga dan dalam parit juga perlu dibersih.

"Duit (untuk pembersihan) itu bukan duit saya, itu duit kerajaan dan duit rakyat. Kalau berani buat berani tanggung la...kenapa tak nak bayar pula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang di Batu Kawan hari ini.

Semalam, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dilapor berkata tindakan Abdul Rahman mengenakan kos pembersihan kepada pihak penganjur BERSIH 4 adalah tidak adil kerana itu merupakan tanggungjawab DBKL.

Ditanya mengenai pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di tujuh negeri, Abdul Rahman berkata pihak kementerian sedang mendidik setiap isi rumah untuk lebih memahami tanggungjawab mereka.

"Setakat ini, pelaksanaan itu masih dalam peringkat permulaan dan kami kini dalam proses mendidik isi rumah memahami kaedah yang ditetapkan. Kompaun hanya akan dikenakan pada 1 Jun depan sekiranya perlu," katanya.

Beliau berkata setakat ini pelaksanaan pengasingan sisa pepejal itu disambut baik penduduk di tujuh negeri terlibat khususnya golongan muda.

"Pelaksanaan ini akan dapat mengurangkan jumlah perbelanjaan kerajaan untuk kos melupus dan menguruskan sampah yang mencecah RM2 billion setiap tahun," katanya.

Tujuh negeri yang terlibat dalam pelaksanaan pengasingan sisa pepejal yang bermula awal bulan ini ialah Wilayah Persekutuan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan Pahang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS