Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahfuz: Pembangkang perlu elak tembung kerusi
Diterbitkan:  Sep 3, 2015 8:00 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menggesa parti pembangkang termasuk PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) supaya mengadakan rundingan pembahagian kerusi dalam pilihan raya bagi berlaku pertembungan sesama sendiri.

Katanya, oleh kerana pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum bakal menjelang, sepatutnya semua parti pembangkang mengadakan rundingan dalam pembahagian kerusi demi kebaikan rakyat.

"Demikian, PAS dan AMANAH juga tidak terkecuali daripada memikul tanggungjawab ini untuk duduk di meja rundingan dan perbincangan dengan lapang dada, fikiran terbuka dan merendahkan ego masing masing.

"Pertembungan sesama sendiri di dalam pilihan raya di kalangan parti pembangkang akan menyebabkan hancur berkecailah harapan rakyat yang mengharapkan sinar dan wajah Malaysia baru," katanya dalam satu kenyataan.

Yang dipertua Pokok Sena turut mengingatkan supaya pemimpin parti pembangkang membuang rasa ego dan degil bagi mengelakkan rakyat rasa muak dan meluat dengan mereka.

"Kepada pemimpin parti pembangkang ingatan jujur saya pada anda semua jangan sampai rakyat juga muak dan meluat kepada anda semua hanya kerana keegoan dan kedegilan anda seperti mana rakyat muak dan meluat kepada kepimpinan negara kerana ketamakan dan salah guna kuasa.

"Jika ini yang berlaku rakyat akan hilang kepercayaan kepada kepimpinan politik," katanya sambil mengalu-alukan kehadiran AMANAH dalam pentas politik negara.

Beliau turut mengingatkan anggota PAS supaya tidak risau dengan perkembangan semasa termasuk penubuhan AMANAH yang dianggapnya tidak harus dilihat sebagai ancaman pada mana-mana parti politik.

"Sebaliknya kemunculan AMANAH hendaklah diterima baik sebagai persaingan yang sihat daripada sudut politik dalam proses pemurnian demokrasi di Malaysia yang akhirnya akan memberikan keuntungan pada negara dan rakyat," katanya.

Mahfuz turut menyeru pembangkang menerima parti AMANAH demi menerajui perubahan baru politik Malaysia dan mengeluarkan Malaysia daripada krisis akibat salah guna kuasa dan ketamakan pemimpin negara.

"Sebagai kerajaan menanti pemimpin parti-parti politik pembangkang sebijaknya tampil dengan wajah baru untuk Malaysia dengan menjauhi dari terjebak dengan permainan politik perkauman dan keagamaan sempit, amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sebalik membawa misi politik damai, berintegriti dan rahmat untuk semua," katanya.

Lihat Komen
ADS