Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi terkini, perisian dan perkakasan mudah alih kenderaan serta sistem penggera mengesan pergerakan adalah antara teknologi yang tersedia kepada orang ramai dan pasukan keselamatan dalam usaha meningkatkan keselamatan serta memerangi dan mencegah jenayah.

Teknologi itu adalah antara alat-alat yang sangat diperlukan oleh pemain industri kawalan dan keselamatan bagi mengelak kerugian dan kehilangan nyawa serta harta benda.

Teknologi seumpama itu boleh didapati pada Pameran dan Persidangan Kebakaran dan Keselamatan Antarabangsa (IFSEC) Asia Tenggara, yang diadakan bermula semalam sehingga esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.

Menyentuh mengenai perisian dan perkakasan mudah alih kenderaan, jurutera sokongan Sensolink Sdn Bhd, Anas Nizam berkata ia amat disyorkan kepada pasukan keselamatan dan syarikat-syarikat untuk menggunakan dan memasangnya dalam usaha meningkatkan pengawasan dan pemantauan aktiviti dan pergerakan harian.

"Antara lain, pemasangan segera dengan ciri-ciri keselamatan canggih, dengan Sistem Kedudukan Global (GPS) bagi mencari serta menjejaki kenderaan seperti van keselamatan dan kereta peronda serta boleh menghantar mesej amaran secara automatik dalam kes kemalangan atau kes-kes jenayah.

"Berbanding dengan peranti yang ada di pasaran sekarang, teknologi baharu ini mempunyai segala-galanya dalam perkakasan bagi menjadikannya lebih mesra pengguna," katanya kepada Bernama .

Sementara itu, jurucakap Avigilon Corporation berkata pemain industri kawalan dan keselamatan tidak harus melepaskan peluang mendapatkan kamera profesional HD terkini dengan teknologi penangkap cahaya, yang pakar dalam bidang yang luas dan rakaman imej secara terperinci.

Beliau berkata kamera serba canggih itu boleh mengurangkan kos memasang banyak kamera di lokasi yang sama sepertimana yang telah dipasang sekarang di banyak tempat.

Selain itu, kamera yang baharu diperkenalkan itu direka bagi merakam gambar dengan lebih jelas jika berlaku kecemasan.

Alat-alat teknologi lain juga dipaparkan pada konvensyen itu hari ini, iaitu 'HID Mobile Access' di mana ia menjamin identiti digital untuk kawalan akses fizikal dengan menggunakan peranti mudah alih.

"Ia bukan sahaja mudah alih kerana ia menyediakan perlindungan yang lebih baik dan lebih mudah untuk menguruskannya," kata jurucakap itu.

Sementara itu, Jimmy Jian, eksekutif jualan Onvia Vedo, sebuah syarikat yang pakar dalam sistem penggera, berkata syarikat berkenaan memperkenalkan sistem penggera moden dan unik yang dikenali sebagai Vedo S2.

"Ia mengesan individu yang cuba memecah masuk rumah, yang mana Vedo S2 akan menghantar dua mesej dan lima panggilan telefon kepada pemilik rumah dengan memberi amaran sesuatu berlaku di rumah mereka.

"Vedo S2 adalah platform keselamatan rumah yang lengkap dan dipasang dalam beberapa minit, dan boleh digunakan bertahun-tahun bagi perlindungan yang selamat," katanya.

IFSEC Kali Kedua Asia Tenggara itu, berlangsung dari 3 hingga 5 Sept, menampilkan produk teknologi dan perkhidmatan terkini berkaitan keselamatan komersial, perlindungan daripada kebakaran, perlindungan data, produk keselamatan siber serta penyelesaian oleh lebih 300 syarikat dari 36 negara, termasuk United Kingdom, Taiwan, China dan Singapura.

Seminar itu juga menyaksikan 17 topik akan dibincangkan oleh pakar keselamatan dan perlindungan daripada kebakaran, termasuk oleh Ketua Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Persekutuan, Datin Paduka Dr Dahlia Rosly dan Pengurus Panasonic System Solutions Asia Pacific, Gaku Hikada.

- Bernama

Lihat Komen
ADS