Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Kerja lebih kuat naikkan ranking universiti

Kementerian Pengajian Tinggi bertekad meningkatkan lagi kedudukan sistem pendidikan tinggi negara ke ranking ke-25 terbaik dunia dalam senarai Universitas 21 (U21) tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata di bawah U21 tahun ini, Malaysia berada di kedudukan ke-27 di kalangan 50 negara berbanding tempat ke-28 pada tahun lepas.

"Kita perlu bekerja lebih kuat untuk mencapai sasaran ini yang saya yakin dapat dicapai berikutan peningkatan daripada segi kualiti penyelidikan yang dibuat universiti kita," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Penerbitan Jurnal Berimpak Tinggi di Langkawi, malam tadi.

Menurutnya, pencapaian universiti awam negara juga semakin baik dalam pelbagai bidang dengan kesemua lima universiti penyelidikan negara tersenarai dalam kedudukan 100 teratas dalam Ranking Universiti Dunia Mengikut Subjek 2015 bagi sembilan bidang pendidikan.

"Pada 2014, empat saintis kita telah tersenarai dalam Minda Saintifik Paling Berpengaruh Dunia dengan hasil mereka yang kerap dirujuk di peringkat dunia," katanya.

Idris berkata usaha berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan kualiti jurnal yang diterbitkan supaya hasilnya mendapat tempat dalam pangkalan data antarabangsa.

Katanya jurnal tempatan yang memperlihatkan prestasi tinggi dalam pangkalan data Scopus dan Web of Science (WoS) juga akan turut diberikan pengiktirafan di bawah Skim Galakan Penerbitan.

Menurut Idris, kementeriannya juga akan meneruskan usaha mengenal pasti penyelidik negara yang menulis artikel yang paling kerap menjadi rujukan penyelidik dari seluruh dunia.

"Program ini diharap akan menggalakkan penerbitan jurnal yang lebih bermutu dan berimpak tinggi pada masa akan datang," katanya.

Seramai 106 peserta menghadiri persidangan tiga hari itu yang bermula semalam dan melibatkan lima ucaptama dan pembentangan 13 kertas kerja.

- Bernama

Lihat Komen
ADS