Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rock'n'roll di Rumah Api, hancing di balai

Serbuan polis, rampasan peralatan dan penahanan yang berlaku di Rumah Api pada malam 28 Ogos 2015 dilakukan sehari sebelum perhimpunan BERSIH 4. Kes ini mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa.

Serbuan itu mungkin diadakan kerana kerana tajuk gig tersebut, 'Party Tonight, Revolution Tomorrow' yang dikaitkan dengan BERSIH 4. Secara peribadi, saya mempersoalkan perkara ini.

Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 11.15 malam itu bukan serbuan biasa. Bukan seperti serbuan narkotik biasa ke atas kelab malam atau rumah urut.

Sewaktu band Virginia On Duty sedang beraksi di pentas, tiba-tiba muncul kumpulan anggota polis yang lengkap dengan penutup muka balaclava.

Tidak cukup dengan mengepung semua individu di dalam premis Rumah Api, anak muda yang sedang menebeng di luar juga diminta masuk ke dalam.

Kami diarah duduk dan menyerahkan kad pengenalan masing-masing. Aku bertanya kepada salah seorang anggota polis, adakah kami ditahan? Pihak polis mengesahkannya dan mereka terus menggeledah Rumah Api.

Kami seterusnya disumbat ke dalam Black Maria dan dibawa ke IPD Ampang Jaya. Kemudian semua tahanan dikumpulkan dan diperiksa air kencing untuk saringan narkotik.

Suasana di balai agak kelam-kabut pada ketika itu. Jumlah tangkapan pada masa itu belum pasti, aku lihat ada anggota polis masih mengira-ngira dan dalam masa yang sama tahanan disuruh ke kanan dan ke kiri.

Ditahan reman

Arahan datang dari ramai pegawai, yang semuanya kelihatan bersungguh-sungguh untuk kelihatan penting. Dalam masa sama hanya ada dua jamban untuk kegunaan lebih dari seratus orang kencing. Bau hancing memenuhi seluruh kawasan balai.

Pukul 3 pagi, pihak polis mendapati ujian negatif tetapi kami diletakkan semula di sebuah tempat meletak kenderaan polis dengan dikelilingi pita garisan polis. Pada ketika ini aku bertanya sekali lagi adakah kami ditahan.

Polis menyatakan, kami tidak ditahan kerana masalah narkotik tetapi atas arahan dari Bukit Aman. Pada ketika itu, seorang demi seorang secara berkumpulan diminta untuk memberi keterangan kepada pihak polis cawangan khas.

Proses memberi keterangan ini berlangsung sehingga pukul 9 pagi Sabtu dengan kawalan hampir 50 orang polis beruniform. Setelah memberikan kerjasama, nama kami dipanggil seorang demi seorang dan diasingkan. Kami dibawa semula ke perkarangan utama balai polis oleh untuk dihadapkan kepada majistret.

Ketika ini kelihatan peguam mula masuk ke dalam perkarangan IPD Ampang Jaya. Antara peguam yang hadir pada ketika itu adalah Haijan Omar, Lingswaran Singh dan Kar Fai.

Pihak peguam kelihatan begitu komited ketika berhujah tetapi majistret dengan angkuh memutuskan bahawa kami perlu disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Hiburan, Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan perhimpunan haram.

Kami ditahan reman bermula dari 28 Ogos sehingga 31 Ogos 2015.

Kesemua yang hadir di kawasan Rumah Api pada malam 28 Ogos 2015 ditahan reman dan dilokap sehingga 31 Ogos 2015 kecuali salah seorang anggota kumpulan band Blind Tribe, isterinya, kawan mereka dan Tom dari The Bollocks yang dibebaskan. Tidak pasti kenapa.

Motif politik

Aku ditahan bersama tunang kesayangan, tapi aku tak ingin bernostalgia dan bercerita tentang pangalaman lokap. Aku pasti ia tidak jauh beza dengan mana-mana cerita mereka yang pernah menghuni mana-mana lokap di Malaysia. Isunya cuma satu; penindasan yang dilakukan ke atas tahanan.

Sejak dari awal ditahan sehingga ke dalam lokap dan keluar dan sehingga ke hari ini aku sangat yakin bahawa tahanan Rumah Api 28 Ogos 2015 adalah penahanan bermotifkan politik. Tahanan ini bukan untuk tujuan lain.

Kita dapat melihat motif penahanan ini dengan jelas kerana kami disiasat di bawah Akta Hasutan. Semua orang tahu bahawa akta ini adalah sebuah akta yang dibuat oleh penjajah British pada tahun 1948 untuk menindas rakyat di negara ini.

Yang lebih meyakinkan aku, berdasarkan pengalaman teman-teman yang disoal pegawai penyiasat yang sempat aku kutip, soalan yang ditanya berlegar-legar dengan soalan politik tentang perhimpunan aman BERSIH 4.

Berulang kali soalan tentang BERSIH 4 ini ditanya kepada kami. Aku sendiri dengan tangan yang digari berkali-kali ditanya sama ada mengenali individu tertentu yang aktif dalam BERSIH 4.

Gig yang dianjurkan oleh Rumah Api pada 28 Ogos 2015 itu bukanlah sebahagian daripada acara rasmi BERSIH 4, namun jika ada pengunjung yang turut menyokong tuntutan dalam perhimpunan aman itu, ia bukanlah satu jenayah.

Secara peribadi, aku sendiri menyokong pilihan raya yang adil, kerajaan yang bersih, hak membantah, pengukuhan demokrasi parlimen, menyelamatkan ekonomi Malaysia dan dalam masa yang sama, kebebasan media.

Penahanan di Rumah Api pada 28 Ogos itu boleh dilihat sebagai strategi pemerintah untuk mewujudkan suasana ketakutan kepada rakyat Malaysia untuk menyertai perhimpunan aman pada keesokan paginya.

Beratus ribu tetap turun

Dengan adanya tangkapan awal, suasana takut mula timbul di kalangan rakyat. Ia juga boleh dilihat sebagai satu amaran supaya rakyat tidak keluar menyokong perhimpunan BERSIH 4. Namun strategi ini dapat diatasi dengan pemahaman dan semangat yang kuat dari rakyat Malaysia.

Buktinya, beratus ribu rakyat Malaysia masih berani untuk keluar menyatakan pandangan politik mereka mengikut undang-undang secara aman.

Aku menilai penahanan yang dikenakan ke atas kami ini adalah sebagai satu tindakan kerakusan kuasa oleh pihak pemerintah. Mereka seolah-olah boleh melakukan apa sahaja tindakan terhadap rakyat yang berbeza pandangan dari mereka.

Tindakan yang diambil oleh pemerintah ini sama seperti menafikan hak rakyat di negara ini untuk membuat pilihan menikmati hiburan yang diminati. Pemerintah seperti hilang arah untuk menangkap musuh yang sebenar.

Sepatutnya pihak pemerintah perlu fokus untuk menangkap musuh yang sebenar bukan menangkap rakyat Malaysia yang tidak melakukan kesalahan.

Tujuan aku ke acara di Rumah Api adalah kerana aku merayakan kepelbagaian idea positif di kalangan rakyat Malaysia. Aku sendiri sebagai penggiat teater yang meminati sejarah dan kebudayaan menghormati Rumah Api sebagai satu ruang untuk mengekspresi pendapat dan bakat khususnya di kalangan anak muda di Malaysia.

Aku juga mengagumi peranan Rumah Api sebagai ruang untuk anak-anak muda melakukan aktiviti kemanusiaan dan kemasyarakatan ke arah kebaikan.

Penampilan fizikal dan persembahan muzik Rumah Api sememangnya ketara kelainannya dari apa yang kita lihat dalam persembahan arus perdana atau persembahan di televisyen, namun ia bukanlah sebagai ancaman dan bukan satu jenayah.

Serbuan, rampasan dan penahanan yang dilakukan di Rumah Api secara tidak langsung satu penghinaan terhadap demokrasi di negara kita. Sebagai sebuah negara yang berpandu perlembagaan, perkara begini tidak sepatutnya berlaku.

Barang-barang yang dirampas sepatutnya dipulangkan kembali kerana ia bukanlah senjata merbahaya. Peristiwa barangan muzik yang dirampas dan tidak dipulangkan semula bukan satu perkara baru. Polis pernah melakukan tindakan sama ke atas kumpulan BangsArt.

Rumah Api boleh berdiam?

Sekiranya barang rampasan barangan Rumah Api ini tidak dipulangkan, ia menunjukkan keangkuhan penguasa terhadap rakyat kerana barangan ini tidak berbahaya.

Pada ketika ini semua 113 tahanan Rumah Api telah dibebaskan. Semuanya telah pulang kepada keluarga dan kawan masing-masing. Penindasan yang kami lalui sudah pasti kami ikat menjadi pengalaman bersama.

Kita wajar memberikan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam memastikan semua tahanan Rumah Api selamat dan bebas.

Semua barisan peguam dan kehadiran serta sokongan Datuk S Ambiga di IPD Ampang Jaya pada hari pembebasan kami pada ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 2015 amat bermakna. Walaubagaimanapun, pembebasan ini tidak berharga sekiranya Akta Hasutan masih wujud dan digunakan.

Kes serbuan Rumah Api adalah kes klasik melibatkan ruang awam. Ia boleh menjadi picu untuk meledakkan semula persoalan-persoalan asas tentang kuasa polis, hak rakyat sebagai warganegara, SOP polis dalam melaksanakan tugas, penindasan terhadap tahanan dan sebagainya.

Sehingga hari ini, persoalan-persoalan seumpama ini masih terus menghantui masyarakat umum di Malaysia.

Kes ini juga mendapat perhatian zine kolektif alternatif Maximum Rocknroll yang berpusat di San Francisco, bukan calang-calang! Sebagai seorang peminat Rumah Api, aku setidak-tidaknya ingin melihat sebuah perbincangan kritis tentang serbuan ini. Setakat ini, tulisan seperti itu masih belum ada. Adakah Rumah Api akan berdiam diri ketika hak mereka dirampas pemerintah?

Mungkinkah Rumah Api sudah hilang percaya sepenuhnya pada media massa yang satu masa dulu pernah memomokkan gaya hidup dan muzik mereka, yang sehingga hari ini masih menjadi tanggapan masyarakat kebanyakan?

Sebagai peminat, aku ingin melihat lagu-lagu penentangan terhadap penindasan diterjemahkan dalam tindakan. Aku ingin melihat Rumah Api tuntut semula ruang kebebasan ini – reclaim the space!

Jika hanya untuk mencari kesalahan narkotik, kenapa hanya Rumah Api sahaja yang diserbu, kenapa tidak menyerbu pusat hiburan yang lain? Apakah pusat hiburan yang elit di Kuala Lumpur ini terbukti bebas dari penyalahgunaan dadah?

Para pemimpin politik, NGO, peminat serta warga punk, skinhead dan hardcore dan pengunjung Rumah Api perlu melihat kes Rumah Api dari sudut pencabulan hak asasi.

Adakah kita mahu sekadar menyatakan solidariti di Internet atau turut mengambil tindakan lebih konkrit?


R CONG seorang aktivis teater yang mencipta nama melalui lakonan 'Bilik Sulit'. Beliau juga penulis skrip filem 'Gaduh'.

Lihat Komen
ADS