Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tokoh yang mengkritik negara dalam Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 semalam "dirasuk" pihak ketiga yang mahu menghancurkan Malaysia.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, kini adalah zaman banyak fitnah berlaku.

"Barangkali mereka ini 'dirasuk' pihak ketiga dalam negara yang ingin membuat dakyah. Seperti yang saya katakan sebelum ini, sekarang adalah waktu fitnah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Percambahan Minda Pengerusi, Pentadbir dan Pegawai Syarak Masjid dan Surau Parlimen Putrajaya di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.

Dalam persidangan IACC ke-16 yang beakhir semalam, beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa mempertikaikan isu dana asing bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Pada Rabu, Presiden Transparency International Jose Ugaz - ketika majlis perasmian IACC - berkata Malaysia menghadapi krisis rasuah dan meminta Najib memberikan penjelasan mengenainya.

"Kita mahu melihat perubahan tetapi ia tidak boleh berlaku ketika ada beberapa persoalan mengenai dana AS$700 juta dimasukkan ke akaun persendirian perdana menteri," katanya.

Pada Khamis, Ahli Majlis IACC, Michael Hershman juga menyasarkan Najib dengan memberitahu perdana menteri itu tidak boleh menutup skandal berkenaan.

"Nasihat saya kepada Perdana Menteri Malaysia ialah jangan cuba menutup skandal itu, jangan menghalang keadilan kerana ia tidak akan berjaya," katanya.

Lihat Komen
ADS