Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Misteri 'tabligh politik' di Putrajaya
Diterbitkan:  Sep 5, 2015 4:28 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan terdapat kumpulan individu mengaku sebagai jemaah tabligh bergerak aktif di Putrajaya sejak enam bulan lalu dalam keadaan mencurigakan.

Kata Setiausaha Agung Umno itu, gerak-geri 'jemaah tabligh' itu menjadi persoalan kerana selain bergerak seperti kumpulan dakwah, mereka sering meminta alamat penduduk setempat untuk digunakan demi politik.

Tindakan itu, katanya, dipercayai dilakukan bagi membolehkan penduduk setempat didaftarkan sebagai pengundi.

Ada lagi yang lebih mengejutkan Tengku Adnan, iaitu jemaah berkenaan turut disertai anggota wanita.

"Kita naik hairan kerana tabligh sepatutnya lelaki, tetapi yang kita kesan di Putrajaya ini tabligh perempauan.

"Yang saya terkilan, mereka memasuki rumah penduduk bukan bawa ajaran Islam, tapi dia nak minta tuan rumah beri kebenaran supaya alamat rumah mereka digunakan orang luar untuk jadi pengundi dalam Putrajaya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Persidangan Percambahan Minda Pengerusi, Pentadbiran dan Pegawai Syarak Masjid dan Surau Parlimen Putrajaya hari ini.

Tak dihubungi masjid

Menjelaskan lebih lanjut isu itu, Tengku Adnan berkata kumpulan yang mendakwa sebagai tabligh itu turut menyebarkan dakyah dan fitnah terhadap kepimpinan negara.

Menurut Tengku Adnan, beliau sendiri bertanya kepada masjid tabligh di Sri Petaling sama ada mereka menghantar orang ke Putrajaya berhubung perkara tersebut.

"Biasanya jika mereka menghantar orang tabligh, pihak masjid akan hubungi saya tetapi saya diberitahu masjid itu tiada kena mengena, sebaliknya ada parti politik tertentu yang melaksanakan perkara ini dalam Putrajaya," katanya lagi.

Sehubungan itu, Tengku Adnan berkata pihaknya sudah memaklumkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain meminta penduduk di kawasan perbadanan Putrajaya itu berhati-hati.

“Saya sudah maklumkan kepada SPR. Saya juga minta kawan-kawan di Putrajaya untuk mengawasi pergerakan tabligh ini dan jika mereka meneruskan juga saya tidak teragak-agak untuk buat laporan polis,” tegas Tengku Adnan.

Lihat Komen
ADS