Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disaran bersikap lebih proaktif mengurus tadbir kawasan jagaannya tanpa perlu menunggu aduan daripada orang awam.

Mengulas mengenai isu papan tanda di Pasar Seni yang tidak menggunakan bahasa Melayu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tindakan perlu diambil sebaik saja kesalahan itu dikenal pasti.

“Semalam, saya sudah maklumkan kepada pegawai saya jangan tunggu orang lapor, sebaliknya jadi lebih proaktif," katanya.

Sebelum ini DBKL memberi notis 14 hari kepada pemilik bangunan Pasar Seni agar merobohkan papan tanda yang menjadi kontroversi sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Mohd Hisammudin Yahya sebelum ini dilaporkan berkata DBKL akan merobohkan binaan tersebut dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya notis tersebut tidak diendahkan.

Terdahulu, ramai yang mempertikaikan tindakan pemilik Pasar Seni memasang papan tanda yang hanya memuatkan bahasa Inggeris dan tulisan Cina tanpa sebarang perkataan bahasa Melayu yang sepatutnya.

Antara yang membangkitkan isu itu ialah Ketua Pemuda Umno Bukit Bintang, Jefree Zain Affendi.

Menurut Jefree Zain, Pasar Seni adalah identiti serta sebahagian daripada institusi sejarah di Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS