Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Doakan kebaikan, bukan harap kehancuran'
Diterbitkan:  Sep 5, 2015 8:29 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Anak Dr Mohd Hatta Ramli meminta semua pihak tidak menjadi "pemutus kata dan pengatur" hidup mereka sekeluarga, sebaliknya memberi fokus kepada isu negara serta rakyat yang lebih besar,

Kata Atikah Mohd Hatta, sudah lebih 30 tahun ibu dan ayahnya berumah tangga dan membina keluarga Muslim yang baik.

Mereka juga dibesarkan dalam suasana kekeluargaan yang kukuh sehingga kini.

Namun kata Atikah, 2015 adalah tahu yang mencabar bagi mereka, terutama untuk Dr Mohd Hatta sendiri.

Dalam keadaan begitu pun, katanya, isteri Dr Mohd Hatta menjadi penyokong kuat kepada bekas Pengarah Pilihan Raya PAS berkenaan dan tidak pernah meraguinya.

"Apabila Mak diuji dengan penyakit, ayahlah yang menjadi peneman setia di hospital, walaupun ketika itu disibukkan dengan pilihan raya dan sebagainya. I never imagine anyone else could do the same as they done it for each other (saya tak pernah terbayangkan ada sesiapa yang mampu bertindak seperti apa yang mereka lakukan antara satu sama lain)," katanya di Facebook.

Ekoran perkembangan terkini politik Dr Mohd Hatta, Atikah berkata, ia bukan saja peribadi ibu dan bapanya, malah memberi kesan terhadap emosi anak-anak.

"Namun alhamdulillah, kami 7 beradik, 4 menantu memilih untuk terus memberi sokongan moral dan kasih sayang yang terbaik untuk mak dan ayah," katanya lagi.

PAS pertaruh isteri

Nama Dr Mohd Hatta menjadi perhatian apabila beliau secara terbuka menyokong serta menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dibentuk oleh kumpulan progresif PAS selepas mereka disingkirkan dalam muktamar Jun lalu.

Sebelum menyertai AMANAH, kumpulan berkenaan aktif dalam Gerakan Harapan Baru.

Taraf perkahwinan Dr Mohd Hatta dipertikaikan sesetengah pihak apabila beliau dikatakan melafazkan baiah (sumpah) untuk kekal sebagai ahli PAS.

Jika memilih jalan lain, pertaruhan diletakkan PAS Kelantan ialah isteri wakil rakyat tersebut.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan Datuk Daud Muhammad mengesahkan bahawa talak telah jatuh apabila Dr Mohd Hatta memilih parti lain sebagai landasan perjuangannya.

Tidak cukup dengan itu beberapa pemimpin tinggi PAS juga memilih untuk bersetuju dengan pendapat Daud.

Atikah berkata, pihak yang langsung tiada kaitan dengan kehidupan keluargana diharap menghentikan sebarang spekulasi dan tohmahan dengan serta-merta.

"Berhenti mengganggu dengan kenyataan-kenyataan yang negatif khususnya untuk menimbulkan spekulasi dan pandangan buruk kepada keluarga kami terhadap isu ini.

"Hentikan sebarang kenyataan kerana keputusan bukan terletak kepada anda.

"Hentikan dari menjadi pemutus kata dan pengatur hidup kami. Jangan ada lagi kenyataan terutama media massa yang memburukkan keadaan dan persepsi masyarakat. Berlaku adil lah kepada kami.

"Hentikan, sebaliknya doakan yang baik-baik sahaja. Itulah tugas seorang saudara muslim kepada muslimnya yang sepatutnya, bukan bersungguh-sungguh mengharapkan kehancuran," katanya.

Lihat Komen
ADS