26 lagi mayat mangsa bot karam ditemui
Pasukan mencari dan menyelamat menemui 26 lagi mayat mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam ditemui tengah hari ini, menjadikan jumlah korban terkini dalam tragedi itu seramai 57 orang.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily berkata kesemua mayat berkenaan, 23 lelaki dan tiga wanita, ditemui antara pukul 7 hingga 11 pagi.
"Mayat ditemui anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira lapan batu nautika dari lokasi kejadian yang sama di mana dua mayat ditemui pagi tadi," katanya kepada pemberita di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat di Jeti Hutan Melintang, hari ini.
Beliau berkata kesemua mayat itu dibawa ke Jeti Hutan Melintang pada 4 petang dengan 10 mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Sabak Bernam manakala 16 mayat pula dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan proses mengenal pasti identiti," katanya.
Katanya usaha mencari dan menyelamat masuk hari keempat hari ini membabitkan tujuh agensi antaranya APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Setakat hari ini, mayat penumpang bot terbabit iaitu 23 wanita serta seorang kanak-kanak perempuan dan 33 lelaki telah ditemui.
Dalam kejadian itu, 15 orang terselamat, manakala 14 orang dipercayai warga Indonesia ditemukan mati lemas selepas bot yang membawa kira-kira 70 penumpang karam di perairan Selangor pada pagi Khamis.
Bot sepanjang 40 kaki itu karam ketika dalam perjalanan dari kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.
Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh.
-Bernama

