Perjanjian penstrukuran semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor, yang ditangguhkan sebanyak tiga kali sebelum ini, akhirnya akan dimuktamadkan, esok.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dalam kenyataan malam tadi, berkata majlis menandatangani empat perjanjian antara Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) akan diadakan di Shah Alam.

Kementerian itu berkata empat perjanjian tersebut ialah Perjanjian Kemudahan, Perjanjian Sewaan, Perjanjian Hak Penggunaan dan Perjanjian Penyelesaian iaitu syarat-syarat permulaan untuk melaksanakan Perjanjian Induk bagi projek penstrukturan perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Di majlis itu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili akan menyerahkan Lesen Kemudahan dan Lesen Perkhidmatan kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, untuk diberikan kepada Air Selangor.

Ini merupakan syarat-syarat permulaan kepada Perjanjian Induk yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan.

"Berikutan memuktamadkan perjanjian-perjanjian ini dan penyerahan lesen, syarat-syarat permulaan yang kritikal telahpun ditunaikan dan Perjanjian Induk akan berkuat kuasa Rabu ini," menurut kenyataan itu.

Susulan berkuat kuasa Perjanjian Induk, Air Selangor kini boleh menyerahkan aset hak milik tanah yang diperlukan bernilai lebih RM2 bilion kepada PAAB bagi tujuan penyediaan dana bagi Air Selangor mengambil alih kesemua konsesi air di negeri Selangor.

- Bernama