Simpati bukan hanya pada Aylan Kurdi

Lee Slim Shady        

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kata-kata pujangga tersebut membuat aku merasa terpanggil untuk membedah simpati orang kita ketika melihat jenazah anak kecil yang terdampar di pesisir laut Mediterranean.

Seluruh dunia bersimpati, dari segenap bangsa dan pada kanak-kanak kecil malang yang bernama Aylan Kurdi.

Simpati terhadap musibah yang menimpa anak kecil itu setelah bot yang di naikinya karam di tengah lautan ketika melarikan diri dari tanah tumpah darah yang kini berada dalam kancah peperangan.

Rasa sedih itu mungkin tidak sepilu menatap gambar jenazah bayi malang di tong sampah, seperti yang biasa berlaku di tanah air kita sendiri.

Aylan Kurdi dan keluarganya tewas di tengah-tengah lautan ketika melarikan diri dari negaranya yang sedang dalam kancah perang. Makan kita juga bersimpati kepada warga Syria

Aku tidak menolak emosi psikologi manusia yang bersimpati, jauh sekali mengkritik perasaan pilu itu. Namun kadang kala rasa sedih itu lebih membuatkan aku tertanya-tanya apabila rasa simpati orang kita ini jarang sekali dipromosi untuk masyarakat dan bangsa sendiri.

Kalau ada pun ia hanya sekadar bermain di media sosial atau boleh diibaratkan seperti buih minuman kola yang baru dibuka penutup botolnya.

Setiap saat dan detik aku sering mengelak dari tersua untuk terbaca isu di dada akhbar tentang bayi malang yang dibuang dalam tong sampah, dicampak ke dalam semak dalam keadaan yang amat menyedihkan, lebih malang berbanding Aylan Kurdi.

Aku lihat simpati pada bayi yang dibuang ini tidak sehebat menatap foto jenazah Aylan Kurdi yang diberi perhatian menyeluruh oleh masyarakat dunia.

Mengapakan nasib anak kecil malang dari bangsa kita itu tidak mendapat perhatian dunia? Musibah yang melanda anak bangsa kita sendiri itu lebih menyedihkan berbanding anak kecil berbangsa Kurdish seperti Aylan Kurdi.

Anak-anak kecil malang ini tidak dilahirkan dalam sebuah negara yang berada dalam kancah perperangan tetapi di dalam sebuah negara yang aman yang mana rakyatnya disuruh bersyukur setiap masa.

Masyarakat kita khususnya bangsa Melayu-Islam terus hanyut dalam simpati kepada warga timur tengah tanpa sedar yang mana simpati itu pertama sekali harus ditujukan kepada saudara sebangsa dan seagama dengan kita.

Setiap kali Gaza dibedil dan warganya terkorban oleh kerakusan rejim Zionis, kita lihat para pemidato akan bingkas ke pentas.

Pantas sahaja tabung derma di edar demi warga Palestin tetapi perkara sebaliknya apabila berlaku perkara yang sama kepada bangsa serantau. Tiada pula kita lihat tindakan yang sedemikian diambil.

Sedangkan, kezaliman yang berlaku ke atas Palestin juga sama seperti yang terjadi ke atas golongan sebangsa dan seagama dengan kita di Pattani.

Bezanya kita dipisahkan oleh sempadan politik Malaysia-Thailand.

Sehingga kini masyarakat Melayu Muslim di Pattani terus merayu simpati di kedutaan Malaysia di Thailand setiap kali dizalimi oleh rejim Bangkok. Maka setiap kali itu aku mempersoalkan mana perginya simpati kita.

Begitu juga ketika masyarakat Melayu Muslim Moro yang kini tersepit di tengah-tengah pertempuran di antara puak MILF dan rejim Manila menyebabkan mereka kekurangan bahan makanan.

Tetapi jarang aku lihat tabung derma diedar buat simpati sesama Melayu Muslim, dan tiada pemidato berceramah untuk menyeru simpati sekalian masyarakat.

Aneh sungguh simpati kita ini hingga aku tertanya-tanya di manakah kesedaran kita dan mengapa simpati itu harus berkiblatkan Timur Tengah dan tidak bersifat sejagat.

Walhal, paling utama sekali adalah mendahulukan rasa simpati itu terhadap musibah yang melanda bangsa Melayu Islam di rantau nusantara itu sendiri.


LEE SLIM SHADY bekas aktivis #OccupyDataran. Beliau percaya kepada perjuangan di jalan raya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In