Menteri: Selesai segera isu milik tanah mangsa banjir
Kerajaan negeri Kelantan perlu mengenal pasti dan mengesahkan status pemilikan tanah di kawasan yang terjejas banjir hujung tahun lepas dengan segera supaya pembinaan rumah-rumah baru untuk mangsa bencana itu dapat dilaksanakan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sehingga kini terdapat lebih 700 kes melibatkan status pemilikan tanah yang didiami mangsa banjir, yang menyukarkan proses pembinaan rumah baru dijalankan oleh kerajaan persekutuan.
"Kita cadangkan kerajaan negeri supaya dapat kenal pasti dan keluarkan surat pengesahan yang mengesahkan pemilik tanah supaya kita boleh mulakan pembinaan... kita beri kelonggaran bukan mahu menunggu geran tanah, asalkan ada pengesahan pemilikan kerajaan negeri melalui pejabat tanah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Usahanita Binaan (KUBINA) 2015 serta melancarkan Pertubuhan Wanita Industri Malaysia (WIBM) di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Katanya, Kementerian Kerja Raya mensasarkan dapat menyelesaikan pembinaan rumah baharu mangsa banjir menjelang akhir tahun ini, namun bimbang rancangan itu terjejas jika masih terdapat masalah pemilikan tanah.
"Jika mereka tidak dapat menyelesaikan isu tanah, kami tidak boleh mulakan sebarang kerja pembinaan, dan bagi yang telah selesai, kami boleh memberi komitmen bahawa semuanya akan selesai menjelang November," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya Fadillah berkata penubuhan WIBM adalah hasil resolusi KUBINA tahun lepas dan ia dapat mewujudkan suatu rangkaian di antara wanita yang terlibat dalam industri binaan, serta memberi pelbagai manfaat kepada mereka.
Beliau turut menyarankan WIBM mewujudkan kerjasama strategik dengan penggiat utama industri binaan supaya semua program dan aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Saya juga ingin menyeru golongan wanita yang terlibat dengan industri pembinaan supaya merebut peluang dengan menyertai WIBM dan membantu menjayakan agenda 'Pemerkasaan Wanita dalam Pembinaan'," katanya.
Dalam pada itu, Fadillah turut mengumumkan bahawa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan melancarkan program Tranformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 sempena Minggu Pembinaan Antarabangsa ke-15 minggu ini.
"Fokus utama CITP adalah untuk menjadikan sektor pembinaan sebagai sektor utama yang menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan empat teras strategi khusus - meningkatkan nilai tambah dan daya pengeluaran; memupuk nilai pendekatan dan amalan bestari; memantapkan kapasiti dan daya saing dalam negara dan di peringkat antarabangsa' serta meningkatkan tahap kualiti, keselamatan dan profesionalisme," katanya.
- Bernama

