Tong nafi Edge terlibat dalam konspirasi politik
Pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong hari ini menafikan terbabit dalam sebarang konspirasi politik berikutan penyiaran laporan muka depan The New Straits Times bertajuk 'Rewcastle-Brown: I will celebrate when Najib is Done'.
Tong berkata namanya dan nama penerbit merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ho Kay Tat telah 'dikaitkan dengan konspirasi untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokrasi'.
"Kami ingin mengulangi bahawa The Edge Media Group dan kami sendiri tidak terlibat dalam sebarang konspirasi politik, atau pun mempunyai sebarang agenda politik apabila kami menerbitkan artikel mengenai masalah di 1MDB," katanya dalam kenyataan yang turut ditandatangani oleh Ho.
Tong berkata, pihaknya telah menerbitkan banyak rencana mengenai 1MDB sejak 2013 apabila ia kelihatan menghadapi masalah kewangan.
Sebagai sebuah media perniagaan, tegasnya, kepentingan pihaknya terhadap 1MDB adalah semata-mata untuk mendedahkan apa yang berlaku di 1MDB dan pelbagai urusan kewangan dan perniagaan yang ia laksanakan sejak ditubuhkan pada 2009.
Kedua-duanya berkata mereka yang membaca pendedahan The Edge Financial Daily dan The EGDE Financial Weekly , akan tahu pihaknya tidak pernah mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak atau kerajaan secara umum kepada masalah-masalah di 1MDB.
"Kami tidak pernah memberikan 1MDB spin politik dalam mana-mana artikel kami."
Menurut mereka, pihaknya hanya menyentuh isu urus tadbir korporat dan memegang pengurusan, lembaga pengarah dan pelbagai pihak ketiga yang mempunyai urusan dengan 1MDB, bertanggungjawab ke atas apa yang telah berlaku, yang sepatutnya begitulah halnya dengan mana-mana entiti korporat.
Bukti dakwaan
Mereka menafikan tanggapan yang dibuat oleh NST atau mana-mana media lain, bahawa mereka adalah sebahagian daripada konspirasi politik dan telah mengganggu bukti berkaitan dengan 1MDB.
"Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terus membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap kami dan The Edge Media Group," kata mereka. Mkini English
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.