K'jaan sedia beri lebih kuasa pada universiti awam
Kerajaan sedia memberi lebih kuasa kepada Universiti Awam (UA) berkaitan perjawatan, kenaikan pangkat dan pengurusan kewangan namun ia perlu disertai dengan akauntabiliti pihak berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya sebut ini supaya dengan ini agensi-agensi pusat boleh berunding apa bentuk dan secepat mana proses kuasa dapat diturunkan kepada universiti-universiti," katanya ketika berucap di majlis Perdana Menteri bersama warga Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang semalam.
Perdana menteri berkata pengurusan UA perlu mencari alternatif dan menjana sumber kewangan bagi menampung kos pengurusan universiti yang semakin meningkat berikutan peningkatan pelajar.
Adalah diharapkan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan kalangan naib ancselor dapat menggunakan keupayaan intelektual mencari sumber kewangan untuk mengendalikan universiti masing-masing, katanya.
"Kita ada sasaran untuk capai akses kepada pendidikan sebanyak 2.5 juta daripada 1.4 juta pelajar ketika ini ... tetapi untuk melonjak ke arah itu kita memerlukan sumber kewangan," kata Najib yang juga menteri kewangan.
Perdana menteri dalam pada itu turut menyarankan Menteri Pendidikan Tinggi mengadakan temu bual dua kali setahun dengan pengerusi LPU dan naib-naib canselor bagi membincangkan sebarang perkara berbangkit berkaitan universiti.
"Ini bukanlah sesi 'penderaan' kepada pengerusi LPU dan naib-naib canselor tetapi bertujuan mengetahui dengan lebih mendalam setiap permasalahan dan mencari penyelesaian bersama agar perjalanan universiti menjadi lebih berkesan dan lancar," katanya.
Najib turut mengulangi komitmen untuk menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Dalam konteks menjayakan transformasi itu, katanya, tumpuan dan keutamaan kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu terus dipertingkat agar negara mempunyai warga yang berdaya saing.
Perdana menteri juga mahu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan mahasiswa dipertingkatkan ke tahap lebih efisien namun dilaksanakan secara berkesan tanpa mengorbankan bahasa Melayu sebagai bahasa jati diri warga Malaysia.
Beliau juga mahu universiti membuat tinjauan kehendak pasaran supaya graduan yang dilahirkan memenuhi keperluan pasaran, industri sama ada sektor awam atau swasta.
Di majlis itu, Najib turut melancarkan buku panduan 'Enhancing University Board Governance and Effectiveness' (UniTP) untuk memperkasakan institusi pendidikan tinggi dengan peluasan kuasa autonomi tadbir urus.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan timbalannya Datuk Mary Yap.
- Bernama

