Jokowi:Tiada lagi kebakaran hutan tahun depan
Presiden Indonesia Joko Widodo memberi amaran kepada individu dan pemilik ladang di Sumatera supaya tidak lagi melakukan aktiviti kebakaran hutan mulai tahun depan atau mereka bakal dikenakan tindakan undang-undang.
Presiden itu yang turun padang bagi menyaksikan sendiri lokasi kebakaran hutan ?dan ladang di wilayah Banyuasin, Sumatera Selatan, semalam turut memberi arahan kepada beberapa menteri kabinet untuk tidak lagi mencari kaedah terbaru cara pemadaman api di wilayah itu.
Media-media tempatan memetik Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi semalam sebagai berkata penyelesaian dan kaedah mengatasi kebakaran hutan itu telahpun diketahui dan langkah yang diperlu diambil ialah tindakan cepat untuk memadamkan api yang terus mengeluarkan asap.
"Semua orang sudah tahu apa penyebab dan kaedah (memadam api), kita tidak perlu penjelasan apa pun. Yang perlu disegerakan adalah penyelesaiannya agar tidak terjadi lagi (pada) tahun mendatang," katanya.
Jokowi juga meminta pihak berkuasa untuk segera mencari siapa yang bertanggungjawab melakukan pembakaran hutan kerana ia sebenarnya membawa kerugian kepada masyarakat.
"(Ambil) Tindakan tegas (terhadap) pelakunya, saya sudah perintahkan Menteri Kehutanan. Kalau dibiarkan kebakaran akan terus berlanjutan.
"Ini praktik (langkah) yang tidak betul dalam pengelolaan negara dan harus dihentikan. Tahun depan saya tidak mahu ada lagi kebakaran hutan," katanya.
Kebakaran hutan di wilayah Sumatera turut menjadi masalah kepada Malaysia dan mengancam kesihatan rakyat berikutan dilanda jerebu rentas sempadan dengan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
- Bernama

