Polis sekat penyokong sambut ketibaan Anwar di KLIA
Kira-kira 1,000 orang yang sempat melepasi sekatan ketat polis, berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini untuk menyambut kepulangan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengerja Umrah di Arab Saudi.
Kira-kira 1,000 orang yang sempat melepasi sekatan ketat polis, berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini untuk menyambut kepulangan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengerja Umrah di Arab Saudi.
Mereka berkumpul di lapangan terbang tersebut sejak jam 7 pagi lagi untuk menunggu ketibaan Anwar yang berlepas ke Jerman sebulan lalu untuk menjalani pembedahan tulang belakangnya, selepas dibebaskan awal September lalu.
Sebahagian besar penyokong Anwar telah bermalam di lapangan terbang itu bagi mengelak sekatan jalanraya oleh pihak polis pagi ini. Bagaimanapun, ramai lagi yang diarahkan berpatah balik oleh anggota polis yang mengadakan sekatan jalanraya di enam laluan utama menuju ke KLIA.
Pihak polis juga turut menghalang orang ramai yang dipercayai penyokong Anwar di stesen keretapi laju Ekpres Rail Link yang membawa penumpang ke lapangan terbang tersebut. Ini termasuklah orang ramai di stesen Putrajaya yang diarah pulang oleh pihak polis.
Manakala mereka yang telah sampai ke KLIA pula tidak dibenarkan memasuki dewan ketibaan. Pihak pengurusan KLIA mengulangi pengumuman bahawa hanya penumpang sahaja yang dibenarkan masuk ke dewan tersebut kerana terdapat pemeriksaan polis.
Pesawat Penerbangan Saudi yang dinaiki Anwar mendarat kira-kira jam 8.36 pagi tadi dan beliau kelihatan berjalan keluar dari dewan ketibaan 45 minit kemudiannya. Beliau ditemani oleh isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail and anak-anak mereka.
Reformasi
Anwar yang memakai kot warna kelabu kelihatan riang sambil melambai-lambai tangan kepada orang ramai yang melaungkan'Reformasi' dan'Panjangkan Umur Anwar'.
Melihat suasana tersebut, Anwar terus meletakkan jari ke bibirnya, sambil meminta mereka supaya berdiam ketika beliau berjalan tanpa dikawal dari dewan ketibaan.
Sekumpulan penyokong Anwar memberi beliau kuntum bunga antaranya bunga mawar dan kekwa. Manakala mereka yang berada jauh darinya pula, melontar bunga ke arah beliau.
Anwar kemudiannya berlepas dengan sebuah kereta untuk pulang kediamannya di Bukit Damansara pada kira-kira jam 9.30 pagi. Beliau dijangka mengadakan sidang akhbar di kediamannya petang ini.
Dalam perjalanan pulang, Anwar dan keluarganya berhenti selama 15 minit di makan ibunya, Che Yan Hamid dan abangnya Abdul Rani di tanah perkuburan Islam Damansara. Ibunya meninggal dunia pada 2001 manakala abangnya pada 1999 ketika Anwar sedang menjalani hukuman penjara.
Kekerasan polis
Anwar tiba di kediamannya di Bukit Damansara pada kira-kira jam 10.30 pagi dan disambut oleh kira-kira 2,500 penyokong yang menunggu ketibaan beliau.
Beberapa pemimpin pembangkang turut berucap kepada para hadirin, termasuk Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi DAP Karpal Singh dan setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng.
Guan Eng mendakwa kekerasan yang digunakan oleh pihak polis berlanjutan daripada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ketika melihat sekatan jalanraya yang diadakan itu, ia mengingatkan saya kepada zaman Mahathir. Kami ingatkan, ianya tidak ada lagi di pentadbiran Pak Lah," katanya.
Sejam kemudian, Anwar pula berucap. Dalam ucapan selama 20 minit itu, Anwar berkata beliau tidak mengerti mengapa polis mengadakan kawalan keselamatan yang ketat.
"Saya tidak faham mengapa pihak keselamatan bertindak sedemikian. Mereka (penyokongnya) hanya mahu menyambut kepulangan sahaja dan berbuat demikian secara aman. Mereka membawa bunga, bukannya peluru," katanya.
Agenda reformasi
Beliau juga mengingatkan penyokongnya bahawa berpuasa bukannya satu-satunya cara untuk mengamalkan ajaran Islam.
"Ianya juga bersesuaian sekali untuk memperbaharui semangat perjuangan kita. Kita jangan lupa kepada golongan yang miskin dan terpinggir. Kita mesti berjuang untuk menghapuskan segala macam pemangsaan terhadap mereka. Kita tidak boleh berpuasa tetapi membenarkan berlakunya amalan rasuah yang terus menekan rakyat," tegasnya.
Anwar turut mengikrar untuk meneruskan agenda reformasinya dan mengucap berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokongnya selama ini.
Katanya, beliau mahu memulakan satu era baru politik yang tidak berasaskan kaum.
Anwar juga menyatakan hasratnya untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengucap terima kasih di atas pembebasannya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fauzi Sa'ari berkata 500 anggota polis ditugaskan untuk mengadakan enam sekatan jalanraya di laluan menuju ke KLIA.
Tiada masalah
Bercakap dalam satu sidang akhbar di lapangan terbang tersebut, beliau berkata, kehadiran ramai anggota polis dan sekatan jalanraya itu diadakan supaya tidak terlalu ramai orang datang ke KLIA.
"Jika kami tidak berbuat demikian, ianya akan mengakibatkan kesukaran kepada penumpang-penumpang lain," katanya.
Menurutnya lagi, pihak polis telah berjaya mengawal orang ramai dan tidak seorang pun yang ditahan dalam operasi tersebut.
Mohd Fauzi menganggarkan kira-kira 800 penyokong Anwar hadir menyambutnya di lapangan terbang tersebut.
"Mereka memberi kerjasama. Mereka tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kami," katanya.
Bagaimanapun, terdapat beberapa laporan mengenai berlakunya pertengkaran kecil antara anggota polis dan penyokong Anwar yang mengakibatkan kaca mata pemimpin PKR, Tian Chua, telah pecah.

