BN boleh menangi Kelantan jika ada pilihanraya kecil: Annuar Musa

Muda Mohd Nor        

Pilihanraya umum yang terakhir diadakan kira-kira 10 bulan lalu, tetapi Umno Kelantan mengarahkan jentera parti diletakkan dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang pilihanraya di negeri itu.

Pengerusi Umno Kelantan yang baru dilantik , Datuk Annuar Musa menegaskan parti perlu bersedia untuk menghadapi sebarang pilihanraya di Kelantan dalam tempoh yang terdekat ini.

"Perbezaan kerusi di antara kerajaan dan pembangkang amat kecil, jadi kami perlu bersedia menghadapi sebarang pilihanraya," katanya.

Pada pilihanraya umum lalu, Barisan Nasional (BN) hampir merampas Kelantan dari Pas apabila memenangi dengan mendadak kepada 21 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Menjelaskan perkara ini, Setiausaha Umno Kelantan Mohd Nawawi Yusof berkata, jentera pilihanraya Umno Kelantan perlu bersedia kerana kemungkinan besar beberapa kerusi negeri kosong dan pilihanraya kecil akan diadakan.

"Dua wakil rakyat Pas sakit dan tidak boleh berjalan kerana lumpuh dan dilapurkan keadaan masih tidak berubah sejak beberapa bulan lalu. Kedua-dua mereka, seorang di Bachok dan seorang lagi di Kubang Kerian sakit sejak dari pengundian dalam pilihanraya umum lalu.

"Malah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dimasukkan ke Hospital Kota Baru semula kerana kononnya untuk berehat. Jadi Umno Kelantan perlu bersedia mana tahu pilihanraya mengejut berlaku," katanya kepada malaysiakini.

Annuar sebagai MB

Umno Kelantan mengandaikan dengan keadaan kesihatan wakil rakyat Pas yang sedemikian rupa kedua-dua kerusi itu dalam keadaan bergoyang dan pilihanraya boleh berlaku bila-bila masa.

Annuar mengarahkan Umno Kelantan bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya itu dalam satu perjumpaan tidak rasmi dengan beberapa ketua Umno bahagian Kelantan di Kota Baru baru-baru ini.

Jika pilihanraya kecil berlaku dan Umno menang dua kerusi negeri, kerajaan Pas yang memerintah Kelantan sejak 1990 akan tumbang dan Umno akan melantik seorang Menteri Besar bagi pihak kerajaan BN.

Dan sumber-sumber terbaru menyebut calon Umno untuk jawatan Menteri Besar Kelantan ialah Annuar sesuai dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Umno negeri dan juga ADUN Kok Lanas.

Pada pilihanraya umum lalu, Datuk Mustapa Mohamad disenaraikan sebagai Menteri Besar jika BN memerintah Kelantan setelah beliau bertanding kerusi negeri dan parlimen dan menang kedua-duanya.

Menurut Mohd Nawawi lagi, kerajaan Pas berada di dalam keadaan tertekan sekarang ini dan tidak mungkin mereka bertindak membubarkan dewan undangan negeri kerana tindakan itu boleh menyebabkan Pas kehilangan pemerintahan selepas tewas teruk di Terengganu dalam pilihanraya umum lalu.

Perlantikan Annuar dialukan

Perlantikan Annuar sebagai Pengerusi Umno Kelantan yang baru bagi menggantikan Mustapa seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno baru-baru ini disifatkan oleh ahli Umno Kelantan sebagai kena pada masanya.

"Semua Ketua Umno Kelantan mengalu-alukan perlantikan Annuar yang disifatkan mereka sebagai tokoh yang berpengalaman, berwawasan dan tahan lasak.

"Annuar bukan baru dalam Umno, beliau pernah menjadi menteri kabinet, senator dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan. Annuar adalah simbol keperwiraan Umno Kelantan," kata Mohd Nawawi, bekas seorang pendidik.

Menurutnya lagi, hanya Annuar yang mampu mencabar kepimpinan Pas dan beliau sudah membuktikannya sejak tahun 1986 sewaktu menjadi Adun Melor.

Umno Kelantan memerlukan kepimpinan Annuar yang tahan lasak bagi menghadapi Pas meskipun pernah menampilkan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Mustaffa sebagai Pengerusi Perhubungan Kelantan.

Annuar akan mengadakan pertemuan secara rasmi dengan semua ketua Umno bahagian Kelantan tidak lama lagi bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan ahli parti.

Dalam rombakan baru-baru ini, Datuk Awang Adek Husin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Umno Kelantan yang baru bagi menggantikan Datuk Zaid Ibrahim. Bagaimanapun, tidak berlaku perubahan di peringkat bahagian.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In