Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata tiada mana-mana pihak boleh menyekat spekulasi berkaitan parti itu.

Namun, kata beliau, apa yang penting semua pihak jangan menggelabah berdepan dengannya.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam menjelang mesyuarat pertama Majlis Tertinggi Umno selepas rombakan kabinet yang menyaksikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tersingkir.

Sejak awal minggu ini spekulasi bertiup kencang bahawa Muhyiddin dan beberapa lagi pemimpin pusat Umno akan dipecat.

Beberapa pemimpin Umno telah tampil menolak khabar angin itu.

Ditemui media selepas melawat Yayasan Pelajaran MARA di Kuala Lumpur hari ini, Annuar berkata tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan menjelang mesyuarat MT Umno sebentar lagi.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dah beberapa kali menyatakan kesediaan untuk terus bersama parti," katanya.

Selain Muhyiddin, Mohd Shafie turut disebut-sebut bakal dipecat dari pada Umno dalam mesyuarat MT petang ini.

Annuar berkata bukan aneh apabila ada tokoh parti tiada jawatan dalam kerajaan.

Begitu juga sebaliknya, kata Annuar, ada tokoh yang berjawatan dalam kerajaan tetapi bukan menjadi pemimpin walaupun di peringkat MT.

"Saya sendiri sudah beberapa kali menjadi ahli MT tetap tak ada jawatan dalam kerajaan pun," katanya.

Lihat Komen
ADS