Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas ketua penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman berkata, beliau telah menerima surat tunjuk sebab daripada parti kerana didakwa menganjurkan program yang melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hamidah merupakan salah seorang yang tersenarai sebagai salah seorang yang dispekulasikan akan dipecat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno petang ini.

Beliau berkata, surat tunjuk sebab itu diberikan kepadanya kerana didakwa mengadakan program Bicara Negarawan bersama Dr Mahathir di Ipoh, Perak Mei lalu.

Sehubungan itu, ketua wanita Umno bahagian Gopeng itu berkata, beliau bersedia sekiranya spekulasi pemecatannya itu benar-benar berlaku.

"Saya sebenarnya dah mendapat surat tunjuk sebab. Dan itu sebabnya saya bersedia kalau dipecat. Kalau itulah keputusan parti. Tapi kena ingat, kuasa rakyat yang akan menentukan mereka suatu hari nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sambutan ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang hari ini.

Selain beliau, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dispekulasi meluas akan dipecat. Beberapa pemimpin Umno bagaimanapun menolak tanggapan itu.

Sementara itu, Hamidah yang juga bekas exco kerajaan negeri Perak itu juga merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya meletakkan jawatan jika presiden Umno itu mementingkan parti dan negara.

"Saya rasa Najib perlu undur. Saya nak rayu pada Najib, ketepikan kepentingan peribadi dan berkorbanlah demi kepentingan rakyat Malaysia dan Umno sendiri," katanya lagi.

Hari ini akan berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Mesyuarat dijangka bermula jam 3 petang ini.

Sebelum ini juga, terdapat khabar angin yang mengatakan beberapa ahli MT dan ahli Umno akan dipecat dalam mesyuarat hari ini.

Selain Hamidah, seramai tujuh nama yang didakwa akan dipecat antaranya Muhyiddin selaku timbalan presiden, Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir.

Mesyuarat MT sebelum ini ditangguhkan selama tiga bulan ekoran ketegangan yang berlaku dalam parti berikutan rombakan kabinet.

Bagaimanapun, beberapa ahli MT memberi jaminan bahawa tiada pemecatan akan dilakukan pada mesyuarat petang ini.

Lihat Komen
ADS