Kumpulan aktivis anti-BERSIH menjelaskan mesej tersebar berunsur keganasan terhadap kaum lain dalam perhimpunan mereka 16 September ini bukan daripada mereka.

Pemimpin akar umbi Umno Datuk Jamal Md Yunos, menggunakan platform Gabungan NGO-NGO Malaysia, sebaliknya berkata penyebaran maklumat itu berniat jahat.

“Bukan kita galakkan bawa senjata, bawa parang. Yang tersebar sekarang ini, poster tumpah darah Cina, itu bukan mesej kami.

“Mungkin (daripada) sesetengah mereka yang berniat jahat untuk buat provokasi,” katanya.

Mengulas lanjut, ketua Umno bahagian Sungai Besar itu juga menasihatkan orang bukan Islam tidak digalakkan berada di sekitar Kuala Lumpur pada tarikh itu, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Mesej yang disebarkan menyuruh orang bukan Islam mengelak dari berada di Kuala Lumpur pada hari itu. Bagi saya, itu seeloknya.

"Sebab kalau kita lihat penganjuran lepas, kita tak datang perhimpunan begini. Namanya pun demonstrasi. Orang yang datang itu beremosi.

"Apabila lihat ada kumpulan seteru, sudah pasti akan berlaku provokasi. Bila ada provokasi, kita khuatir berlaku insiden-insiden yang tidak baik," katanya lagi.

Beliau turut memberikan contoh semasa perhimpunan BERSIH 4 apabila seorang lelaki yang memakai baju merah - yang anti kepada BERSIH didakwanya dipukul.

"Tapi saya percaya dengan kematangan, pengalaman dan kebijaksanaan polis akan mampu berhadapan dengan apa jua situasi yang berlaku," katanya lagi.

Kumpulan aktivis Melayu itu bercadang mengadakan Himpunan Rakyat Bersatu untuk menyatakan bantahan terhadap BERSIH 4 yang dikaitkan dengan dominasi kaum Cina dan DAP.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid semalam turut melarang perhimpunan di Bukit Bintang dan Jalan Petaling atas alasan keselamatan.

Manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan tidak akan melarang ahli Umno untuk menyertai protes baju merah anti-BERSIH itu.

Malah, ketua Umno Bahagian Sri Gading Datuk Ab Aziz Kaprawi pula pihaknya akan menghantar kira-kira 1,000 ahlinya untuk menyertai Himpunan Rakyat Bersatu itu.

Ia sebagai sokongan padu rakyat kepada kerajaan dan tindak balas memijak gambar pemimpin negara oleh peserta BERSIH, katanya.