Jualan baju merah 'Maruah Melayu' 16 Sept laris

Shakira Buang        

Jualan kemeja-T "Himpunan Maruah Melayu" yang akan berlangsung pada 16 September ini ibarat pisang goreng panas.

Baru sepuluh minit dibuka, kira-kira 1,000 helai telah pun terjual.

Pembelinya terdiri daripada orang Melayu pelbagai peringkat umur yang lalu lalang berdekatan bangunan perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ia juga menarik perhatian ramai untuk berhenti memerhati apa yang sedang berlaku.

Perhimpunan itu di ibu kota itu dirancang bagi menyatakan bantahan terhadap BERSIH 4 pada hujung bulan lalu.

Jualan kemeja-T itu berlangsung ketika mesyuarat penting Majlis Tertinggi (MT) Umno sedang diadakan.

Jualan kemeja-T himpunan baju merah hari ini diketuai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos yang menjual sehelai baju pada harga RM10 kepada orang ramai.

Bercakap kepada pemberita, Jamal berkata pihaknya telah mencetak 10,000 helai kemeja-T.

Malah, beliau juga menjangkakan lebih 35,000 helai baju akan terjual sehingga ke tarikh perhimpunan berlangsung.

"Semalam, kita dah jual 5,000 helai dan hari ini kita cetak lagi sebab sambutan yang menggalakkan.

"Kita juga akan cetak lagi baju itu sebab dari Johor sahaja mereka beli sebanyak 3,800 helai," katanya kepada pemberita.

Beli 10 helai

Sementara itu, seorang pembeli, Rahim Mohamed dari Masjid Tanah Melaka yang ditemui Malaysiakini berkata beliau hari ini membeli 10 helai sebagai buah tangan kepada rakan-rakannya di sana.

"Hari ini kebetulan saya lalu di sini dan ada jual kemeja-T himpunan baju merah, jadi saya beli untuk bawa balik Melaka tunjuk pada kawan-kawan.

"Tapi yang tak ada baju ini pakai baju warna merah pun tidak apa," katanya.

Malah, Rahim berkata sehingga kini beliau difahamkan lebih 20 buah bas akan membawa anggota Umno negeri itu menyertai himpunan tersebut.

"Saya dimaklumkan lebih 20 bas disediakan untuk membawa peserta himpunan dan mereka ini tidak ditaja mana-mana pihak. Semua nak datang atas diri sendiri," tegas Rahim.

Manakala menurut seorang lagi pembeli baju kemaja-T itu, Mohamad Noor, 45 dari Kuala Lumpur beliau begitu teruja sekali mahu menyertai himpunan tersebut sebagai tindakan balas membantah perhimpunan BERSIH 4.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In