Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aminolhuda: Letak jawatan wakil rakyat tak wajar
Diterbitkan:  Sep 9, 2015 6:38 PM
Dikemaskini: 11:24 AM

Bekas Pesuruhjaya PAS Johor Aminolhuda Hassan menyifatkan sebagai tidak wajar mendesak wakil rakyat PAS meletak jawatan apabila mereka menyertai parti lain.

Sebaliknya, beliau berkata pelantikan sebagai wakil rakyat adalah berdasarkan undi rakyat dan bukan datang sepenuhnya daripada penyokong PAS.

Aminolhuda, yang kini Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri berkata peletakan jawatan hanya akan mengundang kekecewaan pengundi kerana telah mengkhianati kepercayaan mereka.

"Saya dilantik berdasarkan undi rakyat, kalau undi ahli PAS hanya sebahagian sahaja. Kalau saya letak jawatan sebagai wakil rakyat, saya telah mengkhianati pengundi saya," kata beliau kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, mengulas desakan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Selain Aminolhuda, ada tiga lagi ADUN PAS di Johor iaitu ADUN Sg Abong Dr Sheikh Ibrahim Salleh, ADUN Puteri Wangsa Abdullah Hussin dan ADUN Maharani Dr Mohammad Taslim.

Setakat ini, hanya Aminolhuda yang menyertai parti baharu itu.

Sementara itu, beliau berkata pelancaran parti baharu itu di peringkat negeri akan diadakan pada Jumaat ini (11 Oktober), lebih awal dari pelancaran peringkat pusat, memandangkan gerakan parti baharu itu bermula di Johor.

Amanah merupakan nama baru bagi Parti Pekerja Malaysia yang masih dalam proses didaftarkan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS