Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak seperti dibayangkan penyokong tertentu Umno, mesyuarat majlis tertinggi (MT) parti itu berlangsung - dan berakhir - tanpa sebarang pemecatan.

Malah Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata, mesyuarat hari ini berlangsung dalam suasana sangat baik dan menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi.

"Kita berbincang banyak perkara dan saya mengalu-alukan penglibatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden parti.

"Beliau juga menyatakan kesetiaan kepada Umno dan kesanggupannya terus berjuang bagi memastikan Umno dalam pilihan raya umum akan datang," katanya kepada media di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum itu Najib mempengerusikan mesyuarat MT Umno di ibu pejabat parti itu.

Ia adalah mesyuarat pertama badan berkenaan sejak Najib merombak kabinetnya dan mengetepikan Muhyiddin daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Turut diketepikan, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sebelum ini tersebar khabar angin mendakwa Muhyiddin, Mohd Shafie dan beberapa tokoh peringkat negeri dan pusat akan dipecat daripada Umno.

Bagaimanapun penganalisis yakin Najib tidak akan mengambil tindakan itu kerana ia hanya akan menambah lagi masalah kepada parti dan kerajaan.

Najib berkata atas komitmen diberikan Muhyiddin beliau mengucapkan berbanyak terima kasih.

"Ucapan terima kasih juga kepada Mohd Shafie yang turut memberikan komitmen sama. Beliau juga menyatakan kesanggupan untuk bekerja demi kepentingan parti," katanya.

Lihat Komen
ADS