Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak membidas pemantau pilihan raya BERSIH kerana enggan mendedahkan mengenai dana sumbangan yang mereka terima.

Belau mendakwa gabungan NGO itu bersikap hipokrit dan dwi standard kerana mendesak beliau mendedahkan sumbangan RM2.6 bilion yang mana beliau tetap dengan pendirian bahawa ia bukan kegunaan peribadi.

"Majlis Tertinggi mengambil maklum, tidak ada undang-undang (yang) diguna pakai berhubung dengan sumbangan politik dan tidak ada keperluan untuk membuat pendedahan dari segi undang-undang dan (kita) ambil maklum semua parti politik mengamalkan sumbangan, kutipan dana termasuk pembangkang.

"Malah bila BERSIH 4 kutip duit dan dana, dipohon (untuk) diketahui sumber mana. Mereka enggan didedahkan dari sumber mana.

"Bila sampai pada mereka, mereka tak tuntut untuk ditunaikan tapi bila sampai kepada kita, macam-macam dipersoal," katanya.

Beliau yang juga perdana menteri berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang ini. [Baca berita asal]

Sementara itu Bernama melaporkan Najib berkata Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 8 hingga 12 Dis ini.

Beliau berkata ini berikutan bulan November dipenuhi dengan persidangan antarabangsa yang mana Malaysia menjadi tuan rumah.

"Jadi kita akan buat pada bulan Disember selepas persidangan Parlimen selesai nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara, hari ini.

Dalam pada itu, Najib berkata Umno akan terus memberi fokus terhadap kerja parti untuk membela rakyat.

Beliau berkata Umno sebagai parti yang menunjangi kerajaan, bukan hanya akan memberi fokus kepada usaha membangunkan negara tetapi menyelesaikan masalah rakyat.

"Apa yang dikatakan dekat di hati rakyat hendaklah kita memberi fokus yang secara berterusan termasuk penyediaan bajet yang akan datang.

"Ini saya harap kita dapat cadangan-cadangan yang baik daripada pelbagai pihak untuk dimuatkan dalam belanjawan negara," katanya.

Bajet 2016 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini.

Lihat Komen
ADS