ADUN PAS Kuala Semantan keluar parti sertai PAN
Bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed mengumumkan keluar dari PAS untuk menyertai Parti Amanah Negara (PAN).
Syed Hamid, 63, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan berkata, PAS dilihat bukan parti kondusif dan eksklusif buat semua peringkat masyarakat seperti yang berlaku pada muktamar PAS yang lalu.
"Hala tuju politik Pas kini dilihat semakin bercelaru. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan rakyat semakin keliru dengan objektif sebenar PAS untuk melaksanakan Islam secara syumul," katanya dalam sidang media lewat semalam.
Turut hadir Pengerusi PAN negeri Pahang Dr Hamzah Jaafar.
Syed Hamid berkata, rakyat mahukan perubahan politik yang menyeluruh melalui pakatan pembangkang, namun dalam masa yang sama PAS pula dilihat semakin memencilkan diri dalam memperjuangkan hal itu.
Syed Hamid berkata, beliau tidak sesekali menentang apa jua dasar Islam yang dibawa oleh PAS tetapi keadaan politik semasa menuntut kepada ijtihad baru bagi meneruskan perjuangan Islam melalui wadah yang baharu.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.