PAS Selangor hari ini mengeluarkan amaran melarang mana-mana ahlinya daripada hadir atau terlibat dengan perhimpunan 'Baju Merah' pada 16 September ini.
Setiausaha PAS negeri Khairuddin Othman berkata, parti Islam itu menentang sebarang himpunan berbaur perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
"Kita menentang sebarang himpunan berbau perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kalangan kaum"
"Ahli kita di Selangor adalah dilarang untuk hadir atau terlibat dengan apa cara sekalipun.
"Kita tidak bersetuju dan tidak berkompromi dalam hal perkauman kerana asas perjuangan PAS bukan perkauman," katanya dalam kenyataan medianya.
Selain itu, beliau juga meminta supaya pasukan keselamatan memantau perhimpunan baju merah yang diberi nama Himpunan Rakyat Bersatu itu.
Katanya pemantauan terhadap perhimpunan itu nanti perlu dilakukan sebagaimana yang dibuat terhadap perhimpunan BERSIH sebelum ini.
"PAS Selangor minta agar pasukan keselamatan memantau himpunan Baju Merah, sebagaimana mereka memantau himpunan BERSIH dahulu.
"Sebarang bentuk perhimpunan perkauman harus di banteras dengan segera," katanya lagi.
Himpunan Rakyat Bersatu akan diadakan pada 16 September ini yang dianjurkan oleh aktivis pendesak Melayu.
Ia dilakukan bagi menyatakan bantahan terhadap BERSIH 4 yang dikaitkan dengan dominasi kaum Cina dan DAP.
Walaupun pihak polis melarang perhimpunan itu diadakan namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan tidak akan melarang ahli Umno untuk mengambil bahagian dalam protes itu.
