Pemuda Umno tidak akan menghalang anggotanya daripada menyertai perhimpunan 'Baju Merah' yang dijadula berlangusng pada 16 September ini.
"Saya merujuk kepada kenyataan perdana menteri, maka ia mewakili pendirian parti," kata Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.
Beliau yang juga MP Rembau menjawab soalan pemberita mengenai pendiriannya berhubung perkara itu dalam satu majlis di Parlimen hari ini.
Menteri Belia dan Sukan itu pada Sabtu berkata beliau akan menyatakan pandangannya berhubung himpunan tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata anggota Umno bebas untuk menyertai perhimpunan itu tetapi mengingatkan mereka supaya patuh kepada undang-undang.
Bercakap selepas mempengeruskan mesyuarat MT itu semalam, presiden Umno itu juga berkata undang-undang yang sedia ada yang akan digunakan oleh polis dalam perhimpunan untuk membantah himpunan BERSIH 4.
Perhimpunan itu dilapor dirancang diadakan di kawasan Bukit Bintang dan Petaling Street sebagai membantah himpunan BERSIH 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Dijangka 300,000 peserta akan hadir dalam perhimpunan itu.
