Dakwa tipu pakej pelancongan, polis buru Lily
Seorang wanita yang dikenali sebagai Lily sedang diburu kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan pakej pelancongan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, Supt Beh Eng Lai berkata wanita itu dipercayai bertindak sebagai kerani yang menguruskan pakej di bawah syarikat bernama Travelprise Sdn Bhd.
Beliau berkata agensi tersebut turut sedang disiasat.
"Kami akan mengedarkan gambar Lily untuk sebaran umum bagi memastikan orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai individu ini dan agensi pelancongan terbabit," katanya ketika dihubungi.
Beliau mengesahkan menerima laporan dari 27 orang individu yang mendakwa telah ditipu oleh agensi pelancongan yang tidak berdaftar itu, yang melibatkan kerugian RM68,151.
Beh berkata agensi pelancongan tersebut turut menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk telefon bimbit serta kamera digital kepada orang ramai yang menyertai pakej yang kononnya disediakan agensi berkenaan.
Semalam Ketua Biro dan Perkhidmatan Awam MCA, Jason Teoh Sew Hock mendedahkan kes penipuan pakej pelancongan ke Taiwan itu yang melibatkan 27 warga tempatan.
Beliau berkata mangsa yang telah membayar penuh pakej kemudiannya sedar telah ditipu apabila tidak dapat menghubungi agensi itu dan mendapati premisnya turut kosong.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut boleh menghubungi Ketua Siasatan Jenayah Komersial Johor Baharu Utara, ASP Fazli di talian 012-7817047.
- Bernama

