Penganggur dituduh cuba bunuh diri
Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan cuba membunuh diri dari aras sembilan sebuah kondominium di Kuala Lumpur, semalam.
Kho Tee Wooi, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.
Kho didakwa melakukan kesalahan itu iaitu cuba terjun dengan berdiri di luar pagar balkoni unit rumahnya di aras sembilan Bukit Desa Condo, Taman Bukit Desa, Brickfields, pada pukul 8.30 pagi, 9 Sept.
Dia didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 25 Sept untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
- Bernama

