Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) melalui anak syarikatnya, MyANGKASA Holdings Sdn Bhd (MHSB), bakal mengeluarkan produk insurans Takaful.
Presiden ANGKASA yang juga Pengerusi MHSB Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata MHSB sudah memperoleh kelulusan daripada Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) bagi mengoperasikan sel Takaful secara 'captive' pada 16 Jun 2015 melalui Archipelago Insurance PCC Ltd.
"Kelulusan yang diberikan adalah untuk MyAngkasa Life Takaful dan MyAngkasa General Takaful," katanya pada sidang akhbar sempena majlis pertukaran dokumen kerjasama antara MHSB dan Archilpelago Insurance di Petaling Jaya hari ini.
"Menerusi kerjasama tersebut, tiga produk - Extended Takaful Warranty, Gap Takaful dan Cashless PA Takaful - dijangka berada di pasaran bulan depan, manakala satu lagi produk, Family Medical Produk, menyusul kemudian," katanya.
Abdul Fattah berkata sebelum ini ANGKASA menceburi bidang perniagaan insurans sebagai ejen, dan melangkah setapak lagi dalam industri itu berdasarkan potensi besarnya yang mampu memperkasa perniagaan koperasi.
Perniagaan ini juga terbuka pada semua ahli koperasi yang berminat bagi meningkatkan ekonomi koperasi masing-masing, katanya.
Beliau berkata pertumbuhan industri insurans di Malaysia meningkat pada kadar yang stabil pada 2014 apabila mencatat premium bertulis kasar sebanyak RM17.09 bilion atau peningkatan 5.9 peratus berbanding RM16.15 bilion pada tahun sebelumnya.
Beliau juga berharap penceburan ANGKASA dalam industri insurans dapat membantu merealisasikan unjuran sektor koperasi di negara ini untuk menyumbangkan RM50 bilion atau anggaran lima hingga 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020, selari dengan pelan Dasar Koperasi Negara 2011-2020.
Setakat 2014, sektor koperasi menyumbang RM35 bilion kepada KDNK Negara, katanya.
- Bernama
