Polis: Tiada Baju Merah berkeliaran buat provokasi
Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai maklumat yang disebarkan di media sosial yang cuba menakut-nakutkan orang ramai berkaitan dakwaan keganasan kumpulan Baju Merah.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung dakwaan gangguan kumpulan itu.
"Polis Kuala Lumpur menerima maklumat terdapat penyebaran di media sosial, berkaitan gangguan sekumpulan lelaki Melayu berbaju merah, terutamanya ke atas individu berbangsa Cina di jalan raya.
"Pihak polis sedang menyiasat kesahihan maklumat tersebut, sehingga kini tidak terdapat kumpulan berbaju merah yang berkeliaran untuk melakukan provokasi atau apa-apa tindakan khususnya di bandar raya Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam kenyataannya petang ini, Tajudin mengingatkan, jika benar-benar berlaku perkara itu, orang ramai dinasihat membuat laporan polis atau menghubungi balai berdekatan.
"Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan-kumpulan yang cuba melakukan provokasi dan bersikap rasisme atau tindakan-tindakannya melanggar undang-undang yang boleh menjejaskan ketenteraman awam," katanya.
Banyak pihak, terutamanya pembangkang, membangkitkan kebimbangan terhadap kumpulan anti-BERSIH itu, terutama susulan imej ditonjolkan dalam perhimpunan mereka sebelum ini.
Mereka sebelum ini pernah menyimbah cecair merah ke gambar pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah serta mempamerkan demonstrasi lasak silat, dengan aksi menahan pukulan kayu serta memecahkan atap genting.
Kumpulan itu merancang mengadakan perhimpunan pada Hari Malaysia 16 September ini di Bukit Bintang dan Jalan Petaling – kawasan perniagaan yang didominasi peniaga bukan Melayu.
Perhimpunan bertemakan perpaduan Melayu itu bagi menyatakan bantahan terhadap perhimpunan BERSIH di ibu kota pada hujung bulan lalu yang dikaitkan dengan dominasi Cina dan dikuasai DAP.
Ambil kesempatan
Sementara itu, Pengerusi Gabungan NGO-NGO Melayu berkata Datuk Jamal Md Yunos mendakwa provokasi yang tersebar di media sosial untuk menunjukkan keganasan kumpulan Baju Merah, dilakukan oleh pembangkang.
"Media sosial yang tidak boleh dikawal sekarang ini, kita lihat pihak pembangkang telah mengambil kesempatan dan telah cuba untuk menjajah pemikiran rakyat orang Malaysia dan Melayu.
"Mereka buat membuat provokasi melampau dan keluarkan kenyataan bersifat perkauman adalah dari sebelah sana (pembangkang) kami orang baik-baik,” katanya dalam sidang media di Kelab Raja Sulaiman Kampung Baru petang ini

