Syed Ali dakwa politik 'rasis' DAP runtuh perpaduan Melayu

   

Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mendakwa DAP berjaya meruntuhkan perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini melalui doktrin politik rasis.

"DAP dengan sokongan anasir tertentu telah berjaya memporak-perandakan perpaduan orang Melayu menerusi ideologi politik," katanya dalam blognya hari ini.

Beliau juga mendakwa orang Melayu dan Islam tidak lagi mempunyai kesatuan dan tidak memiliki kekuatan untuk berdepan dengan musuh disebabkan sering bergeser sesama sendiri.

"Atas perkara kecil, kadangkala kita tidak boleh berkerjasama, inilah peluang yang diambil oleh pihak musuh untuk melemahkan kita terutama Umno.

"Jika yang kecil ini pun kita tidak boleh nak selesaikan secara baik, apa akan jadi kepada masa umat Islam, kita akan hancur," katanya lagi.

Syed Ali turut mendakwa DAP memperalatkan segelintir orang Melayu yang sanggup menjual maruah bangsa dan agama demi agenda peribadi termasuk membidas pihak yang menubuhkan parti baru yang didakwanya mengikut telunjuk DAP

"Hari ini, saya lihat DAP berjaya gula-gulakan orang Melayu, sehingga ada sesetengahnya tergamak menjadi ahli DAP, berjuang bersama parti rasis," katanya.

Beliau berkata orang Melayu yang menyertai DAP tidak lagi boleh bersuara untuk menyatakan mereka berjuang untuk Melayu dan syiar Islam.

Ini kerana, katanya, parti itu mengamalkan politik sekular dan rasis untuk meruntuhkan institusi orang Melayu.

"Inilah bezanya dengan perjuangan Umno, benar kita berteraskan kepada semangat kebangsaan tetapi kita tetap menjunjung syariat Islam," katanya.

Beliau berkata Umno mempertahankan kekuatan Islam dan perpaduan orang Melayu dan mendahului kepentingan agama dan rakyat secara keseluruhan.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In